Saturday, December 31, 2011

Peluang masih ada tanpa Le Tua’ pada saingan Le Tour de Langkawi 2012

Hariff yang sering dibayangi kejayaan Anuar, berpeluang mempamerkan kehebatan pecutan apabila turun sebagai pelumba utama TSG.

Kehilangan penyertaan pasukan benua tempatan, Le Tua pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 bukan bermakna peluang pelumba tempatan pada perlumbaan terulung di Asia itu semakin tipis.

Le Tua yang disenarai awal akan menyertai LTdL 2012 yang bakal berlangsung Februari ini tidak dapat turut serta selepas Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI) tidak melanjutkan lesen pasukan itu, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal berkata 13 pelumba tempatan akan beraksi pada LTdL 2012 dengan enam daripada pasukan kebangsaan, enam lagi daripada pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling (TSG), dua lagi menerusi Anuar Manan dan Adiq Hussainie Othman yang mewakili Champion System manakala Ng Yong Li mewakili Azad University.

“Pelumba tempatan masih lagi mewakili 10 peratus daripada jumlah peloton pada LTdL 2012. Dengan kekuatan yang ada, pelumba negara boleh memberi saingan sengit kepada pelumba bertaraf dunia yang ada,” katanya.

Dia menambah, Anuar yang pernah memenangi satu peringkat perlumbaan pada LTdL 2010 dilihat mampu mengulangi kejayaan itu bersama pasukan barunya dan pelumba Mohd Hariff Salleh yang akan berkayuh dengan TSG mampu mencipta kejutan.

“Anuar berpeluang mencipta lebih kejayaan pada kali ini kerana ada rakan sepasukan yang kuat terutama Jaan Kirsipuu (Estonia) yang akan membantunya memenangi perlumbaan. Dia juga berpeluang memenangi jersi raja pecut,” katanya.

Hariff pula katanya selama ini yang sering dibayangi kejayaan Anuar, berpeluang mempamerkan kehebatan pecutan apabila turun sebagai pelumba utama TSG.

“Jika diikutkan sejarah dulu semasa awal pencarian bakat, Hariff mengatasi Azizulhasni Awang dalam acara trek pecut. Jadi peluang untuk dia memang terbuka luas pada kali ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment