Matulidi Jusoh (kanan) menyatakan sesuatu ketika meninjau kerosakan akibat hakisan ombak besar yang melanda Pantai Timur di Pantai Teluk Lipat, kelmarin.
Kira-kira RM150 juta diperlukan bagi menghalang hakisan di pantai peranginan Teluk Lipat dekat sini menjadi lebih serius dan menyebabkan kemusnahan di kawasan tumpuan pelancong itu.
Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh mengakui kos tersebut amat tinggi kerana ia melibatkan hakisan di sepanjang 10 kilometer pesisir pantai itu.
Jumlah yang sama disebut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika melawat kawasan berkenaan awal tahun ini,
Justeru, beliau meminta kementerian berkaitan melihat dan mengkaji semula keadaan pantai itu serta beberapa pantai lain yang terlibat dengan masalah sama agar kerja-kerja menambak dapat dilaksanakan dengan sistematik.
“Buat masa ini kita hanya menambak pesisir pantai yang terjejas teruk akibat ombak besar beberapa hari lalu iaitu sepanjang 450 meter dengan peruntukan RM2 juta.
“Namun untuk jangka masa panjang, kita perlu menambak seluruh pesisir pantai ini agar hakisan yang berlaku tidak merebak sehingga ke kawasan yang menempatkan pejabat kerajaan dan beberapa institusi pendidikan berdekatan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke pantai itu kelmarin.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan sebahagian jalan di pesisir pantai itu ranap dilanda ombak besar selain mengancam beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan mereka di sekitar kawasan itu.
Selain itu, kejadian ombak besar yang dikatakan terburuk sejak 50 tahun lalu itu turut menghanyutkan puluhan pokok rhu di sepanjang pantai peranginan tersebut.
Matulidi berkata, kerja-kerja menambak pantai menggunakan bongkah batu sudah lama digunakan dan dijangka dapat mengurangkan hakisan.
No comments:
Post a Comment