Seorang pemandu lori dan kelindannya nyaris maut apabila lori sarat dengan muatan kelapa yang dibawanya tiba-tiba terbakar di kilometer 145 Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Ladang Tabung Tentera, Cheneh, Kemaman, awal pagi semalam.
Penolong Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd Rozairi Abdul Rahim, berkata kemalangan berlaku ketika Zahari Awang Hamat bersama kelindan lori itu dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kuala Terengganu kira-kira jam 3.15 pagi.
Beliau berkata, apabila sampai di tempat kejadian lori yang itu terbakar, dan ia dipercayai berpunca dari tayar belakang lori berkenaan.
"Zahari bertindak memberhentikan lorinya di tepi jalan setelah melihat ada kepulan asap keluar daripada tayar belakang lori itu dan terus menelefon bomba," katanya.
Rozairi berkata, sebuah jentera bersama empat anggota bergegas ke tempat kemalangan selepas pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.34 pagi dan ketika sampai, hampir 50 peratus lori treler bersaiz 40 kaki itu terbakar.
"Kami mengambil masa hampir setengah jam untuk mengawal kebakaran berikutan lori itu agak besar dan sarat dengan kelapa. Hampir separuh muatan hangus terbakar,” katanya.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
No comments:
Post a Comment