Tuesday, December 6, 2011

Terengganu Jadi Pilihan Pelabur Luar Negara - Ahmad Said

Terengganu sekali lagi menjadi pilihan syarikat luar negara untuk mengembangkan pelaburan mereka, apabila pelabur terbaharu, sebuah syarikat dari China, menjalinkan kerjasama dalam pengeluaran keluli bersepadu di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata penubuhan kilang keluli Eastern Steel Sdn Bhd (Eastern Steel) di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Teluk Kalong, di sini, dengan kos keseluruhan RM3.8 bilion membuktikan pelabur luar yakin dengan potensi yang ada di Terengganu.

"Sebelum ini, Polimer Park Kerteh menarik pelaburan Korea dan Perancis dengan nilai pelaburan RM2 bilion mulai tahun depan dan ada beberapa lagi pelaburan utama dari luar negara, termasuk ternakan udang di Marang."

"Ini membuktikan langkah dan usaha kerajaan negeri Terengganu menarik pelaburan asing berjaya dan kini Terengganu menjadi pilihan syarikat dari luar untuk melabur di sini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di Kemaman pada majlis Perasmian dan Pecah Tanah Kilang Keluli Bersepadu Eastern Steel semalam.

Yang turut hadir, Duta Republik Rakyat China ke Malaysia Chai Xi, Pengerusi Eksekutif Eastern Steel Sdn Bhd (Eastern Steel) Tan Sri Alwi Jantan, Pengerusi China Shougang Group, Zhu Jimin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Jebasingam Issace John.

Kawasan Perindustrian Berat Kemaman dibangunkan ECERDC.

Beliau bergegas ke Kemaman selepas menyampaikan ucapan Bajet 2012 pada Sidang DUN Terengganu di Wisma Darul Iman tengah hari semalam.

Eastern Steel ditubuhkan di bawah perjanjian kerjasama antara Hiap Teck Venture Berhad (HTVB) dari Malaysia dan China Shougang Group.

China Shougang Group adalah salah satu syarikat keluli terkemuka di China dengan pengeluaran mentah tahunan keluli melebihi 30 juta tan metrik manakala HTVB pula merupakan syarikat keluli terkemuka di Malaysia yang diasaskan pada 1987.

Kilang keluli bersepadu ini meliputi kawasan seluas 480 hektar. Kilang itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3.5 juta tan metrik.

Fasa satu, yang akan dilaksanakan dalam dua peringkat bakal melibatkan kos pelaburan RM750 juta manakala peringkat dua fasa satu melibatkan pelaburan berjumlah RM1.05 bilion.

Menerusi usahasama itu, dianggarkan 2,000 peluang pekerjaan baru akan diwujudkan dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada anak tempatan Terengganu.

"Kita juga mengharapkan industri hiliran yang diusahakan penduduk setempat berkembang bagi menyokong industri berat di kawasan ini," katanya.

Ahmad berkata kerajaan negeri tidak menetapkan tempoh untuk Eastern Steel melombong bijih besi di kawasan 240 hektar diserahkan kerajaan negeri dan syarikat itu akan melombong bahan mentah Gred A itu sehingga habis.

Setakat ini, katanya simpanan bijih besi di Bukit Besi, Dungun dianggarkan 45 hingga 50 juta tan metrik manakala di Kemaman dianggarkan 25 juta tan metrik.

Ahmad berkata pihaknya membahagikan kawasan pelombongan bijih besi di Bukit Besi kepada empat bahagian dengan setiap kawasan diberi kawasan seluas 240 hektar.

Selain Eastern Steel, katanya, 240 hektar kawasan melombong bijih timah di Bukit Besi telah diberikan kepada Perwaja Steel Sdn Bhd manakala dua lagi kawasan berkenaan akan diserahkan kepada pelabur berminat.

"Setakat ini, beberapa syarikat lagi telah menunjukkan minat untuk melabur bijih besi di sini. Syarat kita ialah syarikat berkenaan perlu melabur di sini, jadi kita hanya akan beri kepada mereka yang buka kilang di sini," katanya.

Ahmad berkata antara faktor ramai yang berminat untuk melabur di kawasan Perindustrian Berat Kemaman ialah kawasan perindustrian di situ amat strategik kerana mempunyai pelabuhan dalam yang membolehkan kapal dengan muatan 150,000 tan metrik memasukinya.

"Kita juga merancang untuk membuat sebuah terusan di sini bagi memudahkan barj membawa bijih besi yang sudah diproses ke pelabuhan untuk dieksport ke luar negara.

"Sehubungan itu, kerajaan pusat akan menambah kemudahan yang disediakan di pelabuhan ini dengan kos RM300 juta," katanya.

No comments:

Post a Comment