Enam sekeluarga mengalami detik-detik cemas apabila rumah mereka di Kampung Kelulut di sini dipecah masuk oleh empat penyamun bersenjatakan alat pemotong serta besi dalam kejadian awal pagi semalam menyebabkan kerugian hampir RM80,00.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, keluarga malang berkenaan sedang nyenyak tidur sebelum salah seorang daripada empat penyamun itu mengejutkan mangsa Hawa Bakar, 53 yang tidur di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan bersama suaminya Alias Ahmad 60.
Hawa, yang juga merupakan seorang peniaga kedai runcit lebih 20 tahun berkata, beliau dan suaminya diugut dan diikat dengan wayar elektrik sebelum empat anaknya berusia antara 11 hingga 21 tahun yang tidur di bilik berasingan dibawa berkumpul di biliknya.
Ketika ditemui, peniaga runcit itu berkata kumpulan perompak menghabiskan masa selama 45 minit untuk menggeledah rumah itu sebelum melarikan pelbagai barangan kemas, lima buah telefon bimbit, sebuah komputer bimbit dan wang tunai lebih RM7,000 yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM80,000.
Katanya wang tunai RM7,000 itu adalah hasil perniagaan runcitnya selama dua hari yang disimpan dalam beg tangannya di sebelah katinya.
“Semasa kami dikumpulkan empat penjenayah tersebut masih tidak berpuas hati dengan barangan kemas yang diperoleh dan bertanyakan baki seutas gelang emas yang biasa makcik pakai.
“Apabila makcik enggan berbuat demikian, dia mengugut untuk melarikan salah seorang anak perempuan makcik yang berumur 19 tahun. Jadi makcik terpaksa memberitahu yang gelang emas dan wang hasil perniagaan runcit ada disimpan di dalam beg tangan di sebelah katil,” katanya.
Bagaimanapun, katanya penjenayah berkenaan gagal menemui gelang emas berkenaan dan hanya mengambil wang tunai itu,” katanya.
Katanya kumpulan itu memasuki rumahnya dengan memecah tingkap dan kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment