Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Karnival Hijrah 2011 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, petang ini (22 Disember).
Papan lapis tertera kalimah 'Bismillahirrahmanirrahim' adalah antara tarikan pada karnival berlangsung selama tiga hari dan berakhir 24 Disember ini..
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata 14 Disember lalu, papan lapis itu ditemui seorang usahawan di Ankara, Turki, apabila membelah kayu balak berasal dari Afrika.
Karnival yang pertama kali diadakan itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, kerajaan negeri Terengganu dan TV AlHijrah.
Pengunjung berpeluang menyaksikan beberapa artifak dan replika kegemilangan Islam seperti lampu Masjid Mamluk, pameran mengenai halal hab selain menyertai klinik Al-Quran.
Mereka juga akan dapat melihat alat menguji ketulenan emas, penyediaan perkhidmatan dan urusan haji oleh Lembaga Tabung Haji selain Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan.
Karnival ini mensasarkan kehadiran 200,000 pengunjung dan akan diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang sekiranya mendapat sambutan,
Program bual bicara 'Assalamualaikum' dan Konsert Ulang Tahun TV AlHijrah akan disiarkan secara langsung oleh TV AlHijrah semasa karnival itu.
Semalam, puluhan kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) giat menjalankan kerja-kerja terakhir, termasuk membersihkan kawasan karnival dan memasang karpet di pentas utama.
Peniaga dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan serta swasta turut sibuk di gerai masing-masing sebagai persediaan menanti kehadiran ratusan ribu pengunjung.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk rakaman program 30 minit bersama Ustaz Don, dialog harmoni, sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV Al-Hijrah, Forum Perdana dan program Adik-Adikku terbitan RTM.
Dengan tema `Hijrah 1 Tranformasi’, karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.
Karnival bercorak Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan bertujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman.
Peniaga kraftangan, Haji Ismail Abdulllah, berkata dia cukup bertuah kerana terpilih mempromosikan barangan kraf Terengganu sempena karnival itu.
Katanya, penganjuran karnival seumpama ini wajar diteruskan kerana bukan saja memberi peluang kepada puluhan peniaga untuk mempromosikan produk masing-masing malah mampu menaikkan imej Terengganu yang nyata serius memartabatkan karnival bercorak Islam.
No comments:
Post a Comment