Sepucuk pistol milik seorang anggota polis yang hilang ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang pada 2009, digunakan oleh sekumpulan penjenayah yang merompak sebuah kedai emas di Wakaf Tapai, Marang pada 28 November lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa mengesahkan perkara itu setelah tertangkapnya empat suspek dalam kes rompakan tersebut, tiga daripadanya anggota polis yang bertanggungjawab atas kehilangan senjata itu, pada 29 dan 30 November lalu.
Beliau berkata, polis sebelum itu menemui sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang digunakan suspek dalam rompakan tersebut di kebun kelapa sawit di Kampung Pak Bilis, Jalan Tambak Baru kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.
"Hasil penemuan itu, pihak kami menahan pemilik motosikal berusia 30 tahun di Kampung Tok Lam dekat sini dan siasatan lanjut membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek iaitu anggota polis berusia 29 tahun dan bertugas di cawangan pengangkutan di Hulu Terengganu.
"Penangkapan anggota polis itu membawa kepada penemuan barang kes termasuk sepucuk pistol jenis Revolver .38 yang digunakan dalam rompakan itu selain barang kemas yang disamun serta tiga butir peluru hidup," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada 329 pegawai, anggota dan kakitangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Kuala Terengganu semalam.
Pada 28 November lalu, sebuah kedai emas dirompak manakala pemiliknya nyaris cedera apabila dikejar dua perompak bersenjatakan pistol.
Ketika kejadian pukul 11.30 pagi itu, suspek turut melepaskan tembakan yang mengenai sebuah kereta dinaiki dua kanak-kanak sebelum melarikan diri dengan barang kemas hasil rompakan.
Jamshah berkata, siasatan lanjut mendapati, pistol tersebut diperoleh daripada dua anggota polis yang bertugas di Cawangan Pengangkutan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.
Berikutan itu, katanya, dua anggota polis terlibat, masing-masing berusia 29 dan 33 tahun turut ditahan dan mereka kini digantung tugas dan reman sehingga 14 Disember depan bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, pistol berkenaan dipercayai dijumpai salah seorang anggota polis di Pulapol namun ia tidak diserahkan kepada pihak pengurusan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap tiga anggota polis terlibat sekiranya mereka terbukti bersalah. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum gantung sampai mati," jelasnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment