Selain meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut memberikan penekanan berhubung aspek keterampilan di hadapan khalayak dalam kalangan mahasiswanya.
Justeru dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkebolehan dan mahir berkomunikasi, UMT menyediakan sudut pidato sebagai medium kepada pelajarnya untuk mengasah bakat dalam aktiviti pengucapan awam.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Muhammad Sufi Ibrahim Shah, 22, berkata, dengan adanya sudut pidato ini, mahasiswa dan mahasiswi di UMT `bebas untuk bersuara’ dan meluahkan pandangan masing-masing menerusi saluran yang disediakan.
“Kita yakin ramai dalam kalangan mereka (pelajar) yang berbakat sebagai pemidato di sini tetapi tidak ada tempat yang sesuai untuk mengetengahkan bakat mereka.
“Jadi, sudut pidato ini boleh dianggap sebagai platform terbaik untuk mereka berkumpul dan meluahkan pandangan masing-masing, terutamanya berkaitan isu semasa,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Muhammad Sufi berkata, usaha mereka untuk menubuhkan sudut pidato itu mendapat sokongan penuh dari pihak universiti yang bersetuju menyediakan ruang di universiti itu.
“Kebanyakan universiti lain termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telahpun memiliki `speaker’s corner’ mereka sendiri.
“Jadi, saya rasa, sudah tiba masanya UMT juga berbuat demikian kerana pihak universiti sendiri amat menggalakkan kami untuk aktif dalam bidang kemahiran berucap terutamanya dalam pengucapan awam seperti berpidato ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MPP UMT turut menyasarkan untuk memiliki sehingga 700 pemidato di universiti itu dalam tempoh setahun.
Katanya, walaupun sasa-ran itu agak tinggi, namun beliau yakin ia mampu dicapai sekiranya sudut pidato itu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
“Saya juga yakin setiap daripada 70 pelajar UMT akan ada sekurang-kurangnya seorang pemidato yang akan mewakili mereka.
“Maka tidak mustahil usaha ini akan membuahkan hasil sekiranya setiap pelajar memberikan komitmen yang tinggi dengan kemudahan yang disediakan pihak universiti,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment