Tiga pasangan kembar seiras Siti Nur Fatihah, Siti Nur Atikah dan Siti Nur Hidayah , 12, gembira kerana diberi peluang memilih sendiri pakaian sekolah di Pasaraya Giant Bandar Baru Kijal, Kemaman, kelmarin (26 Dis 2011).
Mereka bertiga merupakan antara 240 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Kemaman terpilih untuk menerima baucer pakaian sekolah berjumlah RM100 dari Pemuda Umno Bahagian Kemaman.
Siti Nur Hidayah berkata, dia bersama dua beradik kembar dan seorang lagi abangnya cukup terharu di atas pemberian baucer itu kerana dapat meringankan beban ibu yang hanya bekerja sebagai tukang sapu.
“Kami adik beradik anak yatim dan orang susah, jika tiada sumbangan seumpama ini, sudah tentu nanti tidak dapat untuk bergilir pakaian dalam tempoh seminggu.
“Ibu sentiasa mengajar kami erti berjimat cermat dengan hanya membeli barangan penting saja termasuk mengehadkan hanya seorang satu pakaian sekolah dalam tempoh setahun,” katanya ketika di temui dalam program Pengagihan Baucer Pakaian Sekolah di pasar raya itu.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang hadir di majlis itu turut meluangkan masa memilih kelengkapan sekolah yang diperlukan penerima.
Seorang ibu tunggal, Norhasiah Mustapa, 35, berkata dia tidak akan melupakan jasa pihak penganjur kerana sudi memilih anaknya, Mohd Shah Izwan Iznur, 10, untuk menerima baucer yang cukup berharga itu.
“Baucer RM100 ini sangat besar ertinya kerana wang yang diperuntukkan membeli pakaian sekolah anak ketiga itu boleh membeli pelbagai barangan lain.
“Saya cukup terharu melihat gelagat anak dan penerima lain kerana diberi peluang untuk memilih sendiri kelengkapan sekolah yang diinginkan,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan berasal dari Felda Nerang 1.
Teganukita
No comments:
Post a Comment