Sehingga Disember tahun lalu, 20 peratus daripada 96,000 penghidap HIV positif di negara ini terdiri daripada kaum wanita dan kebanyakannya mendapat virus berkenaan daripada pasangan masing-masing.
Naib Presiden Majlis Aids Malaysia, Hisham Hussein, berkata rata-rata wanita berkenaan mendapat jangkitan HIV melalui hubungan seksual bersama suami.
Katanya, pemindahan virus HIV melalui hubungan seksual di negara ini semakin meningkat dan amat membimbangkan, iaitu sebanyak 48.6 peratus melebihi jumlah kes yang disebabkan perkongsian jarum oleh penagih dadah.
“Trend pemindahan virus melalui kaedah ini mungkin disebabkan peningkatan hubungan seks rambang di kalangan lelaki yang sudah beristeri. Si suami melakukan hubungan seks dengan penghidap HIV yang rata-ratanya pekerja seks tanpa menggunakan kondom.
“Jelas sekali kesalahan itu harus diletakkan kepada suami kerana melakukan hubungan terlarang, sedangkan sudah beristeri dan tidak mungkin si isteri mendapat jangkitan daripada lelaki lain.
“Kes isteri melakukan hubungan seks dengan lelaki lain kecil bilangannya, berbanding suami yang berpotensi melakukan perkara itu,” katanya ketika lawatan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W Jones ke Pertubuhan Wanita dan Kesihatan Kuala Lumpur (Wake) di Kuala Lumpur, semalam.
No comments:
Post a Comment