Kesanggupan beberapa tokoh dan perwakilan Umno untuk berundur dan memberi laluan kepada golongan "winnable candidates" atau calon yang boleh menang menunjukkan reaksi positif dalam memahami dan menghayati mesej ucapan dasar Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
Reaksi awal yang ditunjukkan oleh beberapa wakil rakyat termasuk bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, ketua pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim dan ketua Wanita Pulau Pinang Zabariah Wahab, mencerminkan sikap sanggup berkorban demi kepentingan parti.
Nampaknya, seruan Najib telah diterima baik melalui sikap kesanggupan membuat pengorbanan yang ditunjukkan.
Najib sering menekankan dalam beberapa ucapannya sejak kebelakangan ini akan betapa pentingnya untuk mengenal pasti calon yang boleh diterima oleh pengundi dan mempunyai kebolehan untuk menang.
Kepastian kemenangan adalah amat penting untuk menjamin survival atau kelangsungan Barisan Nasional (BN) serta mempertahankan Putrajaya (pusat pentadbiran kerajaan persekutuan), selain merampas semula kawasan-kawasan yang telah jatuh ke tangan pembangkang pada satu ketika dahulu.
Untuk berbuat demikian, Umno serta BN mesti mencari calon yang menjadi pilihan pengundi. Sekiranya usaha ini gagal, maka keputusan yang diharapkan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) mungkin tidak boleh dicapai.
Bagi penganalisis politik, sekiranya penyandang kerusi sedia ada enggan berbuat demikian kerana mereka menganggap diri mereka masih "winnable" atau boleh menang, ini akan menjejaskan hasrat Perdana Menteri untuk mencapai kemenangan yang lebih baik dari keputusan PRU-12 pada tahun 2008.
Bagaimanapun, kesanggupan yang ditunjukkan merupakan satu petanda yang baik dalam perubahan atau transformasi Umno bagi menghadapi cabaran yang kian sengit pada masa kini dan akan datang berikutan pengundi yang lebih "sophisticated" atau bijak dan "demanding" atau harapan tinggi.
Kesanggupan tersebut akan memudahkan usaha Najib untuk memperkenalkan satu barisan calon yang lebih dinamik untuk mendapatkan undi apabila pilihan raya diadakan.
Kerelaan untuk mengambil keputusan sedemikian oleh beberapa orang perwakilan juga menunjukkan mereka membuktikan bukanlah sekadar menjadi anggota sahaja malah mereka merupakan "Orang Umno" yang sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan parti.
Bagi Bung Moktar, ahli politik daripada Sabah itu menegaskan akan tetap memberikan sokongan kepada Umno sekiranya beliau tidak terpilih untuk menjadi calon pada PRU-13.
Dalam memberikan komitmen untuk membantu calon yang bakal menggantikannya untuk meraih kemenangan agar BN dapat terus menguasai Kinabatangan, beliau berkata sokongan tersebut adalah sebagai membalas jasa dan pengorbanan mereka yang telah menyokong beliau selama ini.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sesiapa yang akan jadi calon atau wakil rakyat tidak timbul.
Yang menjadi tunggak perjuangan adalah mendapatkan sesiapa yang memenuhi syarat calon boleh menang, katanya dan menambah, sekiranya mereka yang tidak disenaraikan hendaklah terus setia dan berdiri teguh menyokong keputusan parti.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata ucapan Najib telah digarap untuk dijadikan senjata bagi menghadapi serangan parti pembangkang pada PRU-13 kelak dan semua perwakilan mesti berjuang dengan mengetepikan kepentingan peribadi.
Perwakilan dari Kedah Datuk Md Jali Lateh berkata jika semua perwakilan sanggup bekerja luar daripada biasa, berkorban untuk parti dan utamakan perpaduan parti, maka tiada sebab untuk BN hilang kerusi-kerusi yang menjadi kawasan tradisional pada pilihan raya umum akan datang.
Kenyataan-kenyataan itulah yang sangat diharapkan oleh barisan kepimpinan Umno untuk memudahkan usaha mengaturkan barisan calon yang boleh menang dan seterusnya mencapai kemenangan dalam PRU-13 itu nanti.
No comments:
Post a Comment