Thursday, January 26, 2012

1,244 Penduduk DUN Cukai Terima Bantuan BR1M

Selepas berakhirnya program sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Sivik Kampung Kijal Darat, satu lagi program yang sama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diadakan di Dewan Serbaguna Felcra Sri Bandi, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said bersama isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud sekali lagi meluangkan masa pada petang itu untuk menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima dari 12 kampung seperti Kg. Ibuk, Kg. Padang Kemunting, Kg. Payoh, dan Kg. Padang Kubu.

Dalam ucapan, Menteri Besar berkata kerajaan begitu prihatin dengan masalah rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan bagi yang kurang berkemampuan.

Tambah beliau lagi, pihak kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi yang masih kurang stabil.

“Pihak pembangkang selalu mempertikaikan soal keadilan seolah-olah pihak kerajaan terlalu zalim terhadap mereka. Walhal mereka sendiri yang tidak berlaku adil dengan kerajaan.

“Segala kemahuan dan tuntutan mereka sudah dipenuhi, namun mereka masih juga membangkang pihak kerajaan. Jadi di mana keadilan yang selalu mereka pertikaikan selama ini,” katanya.

Beliau juga berharap, masyarakat terutama rakyat Terengganu tidak sesekali melupakan jasa baik kerajaan lebih-lebih lagi apabila tibanya musim pilihan raya nanti.

Kerajaan telah mengagihkan BR1M kepada semua rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebanyak RM500 dan dibagi secara tunai untuk memudahkan rakyat bermula 15 Januari baru-baru ini di seluruh negara.

Keadaan ini jelas membuktikan kerajaan tidak pernah menabur janji-janji kosong seperti mana dakwaan pihak pembangkang.

Teganukita

No comments:

Post a Comment