Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merangka strategi memerangi rasuah.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, perbincangan tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur minggu hadapan.
Ujar Tengku Abdullah lagi, FAM akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada PDRM mengenai cara terbaik dan berkesan dalam mengatasi gejala rasuah di kalangan pemain bola sepak negara.
"FAM akan beri perhatian serius terhadap isu ini kerana ia merosakkan imej sukan bola sepak negara.
"Kita tidak mahu kerana segelintir pemain tidak bertanggungjawab, ia akan merosakkan masa depan pemain lain," tegas baginda di Kuantan semalam.
Baginda berkata demikian ketika mengulas perkembangan isu tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa pemain Perlis yang dikatakan terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan berikutan beberapa siri kekalahan pasukan itu baru-baru ini.
Tengku Abdullah menambah, FAM juga sering mendidik di samping kerap mengingatkan para pemain supaya menjauhi perlakuan rasuah kerana ia memberi kesan buruk terhadap imej bola sepak negara di arena antarabangsa.
"Selain imej tercalar, FIFA akan mengenakan tindakan yang tegas ke atas pemain yang terlibat dengan gejala rasuah," titah baginda.
Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah mengingatkan pihak-pihak yang mengambil pemain import harus mempunyai satu autoriti khas untuk melantik, menukar atau memecat mereka pada bila-bila masa.
"Kalau pemain import tidak menunjukkan prestasi baik dan tidak mahu menukar corak permainan, maka dia boleh digugurkan.
"Jangan bazir masa dan wang kerana adalah lebih baik kita ambil pemain-pemain muda kita (tempatan) untuk dilatih dengan lebih baik dan tidak perlu tunggu sehingga setahun baru nak gugurkan mereka (pemain import)," titah baginda.
No comments:
Post a Comment