GEMBIRA... (dari kiri) Mat Hasan Husin, Mat Jali Daud dan Abdul Rahmat Abdullah menunjukkan wang bantuan RM100 yang diterima di Kuala Terengganu.
Kerajaan negeri memberi bantuan RM200,000 kepada 2,000 nelayan dan penternak di negeri ini bagi mengurangkan beban golongan itu khususnya pada musim tenkujuh.
Bantuan RM100 setiap penerima itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada majlis perjumpaan dengan warga berkenaan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Program anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) dan Jabatan Perikanan negeri itu turut meliputi sesi penjelasan berkaitan peluang dan skim bantuan kerajaan untuk mengubah nasib golongan itu.
Menteri Besar dalam ucapannya berkata, pemberian pelbagai bantuan kepada golongan nelayan itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan keluarga nelayan dan penternak yang tidak harus disia-siakan.
"Di samping itu, mereka seharusnya berusaha mempelbagaikan punca pendapatan bagi menyediakan kehidupan lebih baik dan kerajaan menyasarkan pendapatan nelayan akan meningkat sekali ganda menjelang tahun 2020," katanya.
Beliau turut menasihatkan persatuan bersikap proaktif dengan memanfaatkan kemudahan agar tidak sekadar dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan.
"Ia juga boleh dijadikan pusat kegiatan agro pelancongan seperti memancing, menjual ikan bakar dan sebagainya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment