Tuesday, January 3, 2012

22 Laporan Polis di Terengganu Terhadap'Kempen Bebaskan Anwar 901'.

Laporan polis yang dibuat oleh mereka yang menentang kempen bebaskan Anwar di Shah Alam, kelmarin.

Rakyat Terengganu tidak terkecuali dalam menentang atau memprotes perhimpunan haram 'Kempen Bebaskan Anwar 901'.

Sehingga ini 22 laporan polis dibuat di negeri ini dan jumlah itu antara 239 laporan yang dibuat di seluruh negara bagi membantah usaha mengadakan perhimpunan haram itu.

Bantahan terhadap cubaan pihak tertentu menganjurkan perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 di ibu negara pada 9 Januari ini, semakin meningkat termasuk di Terengganu, apabila sebanyak 239 laporan telah diterima polis sehingga semalam.

Peningkatan laporan berlaku di negeri ini di mana kelmarin hanya 7 laporan dibuat di negeri ini tetapi semalam menjadi 22.

Daripada jumlah laporan, Selangor mencatatkan tertinggi apabila sebanyak 60 telah diterima sehingga hari ini, diikuti Pahang (36) dan Sabah (35).

Beberapa negeri lain yang turut mencatatkan laporan polis adalah Kedah (24), Perak (23), Johor dan Perlis (masing-masing 12), Kuala Lumpur dan Melaka (5), Kelantan (2) serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak.

Di KUALA LUMPUR, polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan hasutan pihak tertentu yang mengajak mereka menyertai Kempen Bebaskan Anwar 901 yang dirancang pada 9 Januari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa terdapat individu tertentu yang cuba menghasut orang ramai menyertai kempen berkenaan sempena keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pelbagai kain rentang dan sepanduk digantung di tempat-tempat awam. Selain itu, pelbagai mesej disalurkan menerusi media sosial mengajak orang ramai berkumpul di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 9 Januari ini.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan hasutan pihak-pihak ini yang sengaja ingin membawa masalah mereka ke jalanan dan seterusnya menghuru-harakan negara yang kita cintai," katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, semalam.

No comments:

Post a Comment