Tuesday, January 17, 2012

300 Unit Pangsapuri Kos Rendah di Kuala Besut Jika BN Menang

Sebanyak 300 unit pangsapuri kos rendah akan dibina di Kuala Besut sekiranya Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dalam Pilihan raya Umum (PRU) Ke 13 akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, jika BN mencapai kemenangan Kerajaan Negeri akan membina rumah kos rendah mampu milik untuk penduduk di sini.

Menurutnya, ia sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membina sebanyak 1,000 unit rumah kos rendah seluruh negeri pada tahun ini dan 10,000 untuk lima tahun akan datang.

“Keutamaan membina rumah kos rendah di kawasan Dun Kuala Besut kerana ia mengalami masalah kekurangan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang bantuan kepada 48 mangsa air pasang dan ombak besar di penempatan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap dan Dana Bantuan Pakaian Sekolah di Kuala Besut, kelmarin (Sabtu).

Hadir sama Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Pengerusi Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, Adun Hulu Besut Nawi Mohamad, Adun Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh.

Ahmad Said turut membuat pengumuman rasmi meluluskan pembinaan 50 buah unit rumah pangsa kos rendah secara percuma kepada penduduk Penempatan PPRT Pangkalan Atap yang terlibat dengan masalah ombak besar itu di lokasi baru yang lebih selamat.

Beliau berkata, pada tahun ini juga akan dibina sebanyak 150 rumah pangsa kos rendah di Pulau Perhentian yang menelan belanja RM27 juta.

Pada masa sama beliau turut menempelak manifesto yang baru diumumkan Pas Terengganu.

“Rakyat jangan terpengaruh kerana dia hendak gula-gulakan rakyat sahaja. Jangan kerana hendak untung secupak tapi rugi segantang misalnya kononnya mereka hendak beri 20 meter padu air percuma kepada rakyat, tetapi apa guna jika timbul masalah paip air bocor seperti masalah air di Selangor sekarang.

“Apa yang kita boleh beri kita beri, yang tak boleh beri kita tak berilah. Kita beri bantuan RM500 kepada rakyat walaupun tidak ada manifesto kita pun,” katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment