Tuesday, January 17, 2012

Kemalangan Di Jabi - Anggota RELA Maut, Tiga Cedera

Seorang anggota RELA maut manakala tiga lagi cedera parah apabila dua kereta bertembung dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Jerteh-Kuala Terengganu dekat Kampung Gong Penaga, Jabi, pagi semalam.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Saarani Mat Yunus, 50 yang juga penumpang depan kereta Perodua Kancil yang dipandu anak tirinya, Mohamad Shahrul Azlizan Burhan, 29, yang cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Turut cedera ialah seorang ahli keluarga Saarani serta pemandu kereta lain iaitu Wafiuddin Mohd Noor, 23.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Zakaria, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, kereta yang dipandu Mohamad Shahrul dari arah Kuala Terengganu dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan kereta Nissan Sunny itu.

“Mohamad Shahrul yang berasal dari Jalan Maran, Temerloh dilaporkan cuba mengelak lubang besar menyebabkan kereta itu hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu Wafiuddin," katanya.

Saarani meninggal di tempat kejadian manakala mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Daerah Besut.

Difahamkan ketika kejadian, Mohamad Shahrul dalam perjalanan ke Jerteh dari Temerloh bersama ayah tirinya dan dua lagi ahli keluarganya manakala Wafiuddin yang berkerja sebagai pendawai bersama dua rakan sekerjanya dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Renek dekat Jerteh.

No comments:

Post a Comment