Wednesday, January 18, 2012

7.2 Hektar Tapak IPT di Banggol Air Leleh

Kerajaan negeri menawarkan kawasan 7.2 hektar di Banggol Air Leleh dalam Parlimen Kuala Nerus dekat sini kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi pembinaan dua institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu dijadikan pemangkin kewujudan bandar baharu.

Katanya, dua IPT yang dicadangkan itu ialah Kolej Komuniti dan Politeknik Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, selain pembinaan dua IPT berkenaan, kawasan di sekitar Gong Badak sudah menempatkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya, projek pembangunan bandar baru Kuala Nerus itu turut melibatkan pembinaan dua buah gedung beli-belah seperti Mydin Mall dan Giant selain premis kedai dan rumah kediaman.

"Projek membangunkan kawasan ini sebagai bandar baru akan dijalankan oleh dua syarikat pemaju dan kerajaan telah bersetuju mengenakan mereka (pemaju) syarat agar menyediakan kawasan khusus untuk tapak IPT.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia Kepada Pelajar-Pelajar Politeknik Kuala Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah politeknik itu, Radiah Che Su dan timbalannya, Abdul Nasir Ali.

Pada majlis itu, seramai 479 pelajar politeknik berkenaan menerima baucar buku bernilai RM200 setiap seorang yang disampaikan oleh Ahmad Razif.

Ahmad Razif selanjutnya memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi sokongan bagi membangunkan bidang pendidikan di negeri ini termasuk pembinaan dua buah IPT berkenaan.

"Berdasarkan perjanjian antara kerajaan negeri dengan dua syarikat pemaju terlibat, mereka (pemaju) perlu menyediakan ruang atau kawasan untuk membina dua buah IPT di situ," jelasnya.

Kampus induk Politeknik Kuala Terengganu yang sebelum ini dikenali sebagai Politeknik Kota masih menyewa bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu di Jalan Sultan Ismail, di sini.

Dua lagi kampusnya ditempatkan di Jalan Air Jernih dan di atas bangunan KFC di Jalan Sultan Ismail.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment