Saturday, January 14, 2012

8 Pasukan Liga M Layak Ambil Pemain Import Sehingga 13 Feb

AKSI lincah pemain import Terengganu, Francis Forkey Deo ketika menentang Perlis pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Selepas beberapa hari kontroversi melanda Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan lapan pasukan Liga Malaysia termasuk Terengganu, kini boleh menarik nafas lega.

Lapan pasukan itu yang sebelum ini tidak dapat menggunakan pemain import untuk saingan liga musim ini akibat kegagalan untuk menepati beberapa peraturan yang ditetapkan oleh JKPT, tidak lagi bimbang dan kecewa.

FAM menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang bermesyuarat semalam memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import selama sebulan bermula Jumaat sehingga 13 Feb depan demi memartabatkan liga bola sepak tempatan.

"Bagaimanapun pasukan terbabit terlebih dahulu harus merujuk pengambilan pemain import kepada Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan ketika membuat pendaftaran," kata Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.

Mesyuarat lebih dua jam itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh merangkap ahli jawatankuasa (AJK) JKPT.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang bermesyuarat pada 22 Dis lepas meluluskan pengambilan 26 daripada 35 pemain import daripada beberapa pasukan negeri dan kelab untuk beraksi dalam Liga Malaysia.

Antara pemain import yang telah mendapat kelulusan FAM untuk beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana adalah Marlon James dan Bruno Sebastian Martelotto dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Esseh Sodjine Sougan Adah (Johor), Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Kedah), Mohamad Ghaddar, Dennis Agayare dan Emmanuel Ayaah Okine (Kelantan) dan Ramez Dayoub (Selangor).

Empat pemain lain iaitu Daniel Soares Neves (Kedah), Mbele Lelo (Selangor), Evans Chusilo (MP Muar) dan Christian Contes (Perlis) pula diluluskan secara bersyarat.

Sebelum ini, FAM tidak membenarkan dua pemain import yang telah ditandatangani Terengganu iaitu Erison Da Silva Santos Carnieto dan Francis Forkey Doe beraksi dalam saingan Liga Super.

Pemain Import Johor FC, TITO da Silva (kiri) dan Tiago bersama penolong jurulatih Johor FC, Azmi Mohamad ketika sesi latihan. Kini status dua pemain import berkenaan diisytihar tidak sah.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang berang dengan keputusan tersebut pada Rabu telah mengancam untuk menarik keluar pasukan Terengganu dan T-Team daripada menyertai Liga Malaysia.

Hamidin turut menasihatkan agar lapan pasukan itu dapat menggunakan masa sebulan yang diberikan oleh FAM untuk mencari pemain import yang memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata FAM akan mengadakan kursus pengambilan pemain import pada semua pasukan Mac depan dan musim kedua untuk mendaftar pemain import dari 2-16 April turut dikekalkan.

No comments:

Post a Comment