Tuesday, January 10, 2012

Adam Ali kena Gantung Tiga Semester

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menggantung pengajian pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim, selama tiga semester kerana mencemar nama baik universiti dan memudaratkan ketenteraman awam.

Adam Adli, 21, didapati bersalah atas dua pertuduhan termasuk bersabit tindakannya menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu demonstrasi haram 17 Disember lalu.

Pelajar itu juga didapati bersalah kerana tindakan menyertai satu lagi demonstrasi di hadapan bangunan universiti tersebut pada malam sambutan tahun baru 2012 baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat sebulat suara lima ahli Jawatankuasa Tatatertib UPSI yang dipengerusikan Naib Canselornya, Datuk Dr. Zakaria Kasa selepas mendengar perbicaraan kes hampir sejam bermula pukul 3.30 petang.

Jawatankuasa itu membuat ketetapan bahawa tindakan Adam Adli telah merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baik universiti, pelajar dan kakitangan universiti dan ketenteraman atau keselamatan awam, moral, kesopanan atau tatatertib.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Datuk Paduka Dr. Junaidi Abu Bakar berkata, Adam Adli disabitkan bersalah di bawah kaedah 3 (a)(i) dan (ii), Bahagian II, Tatatertib Am, Kaedah-kaedah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999.

''Dalam membuat pertimbangan itu, pihak berkuasa tatatertib juga mengambil kira pelajar ini mempunyai kes tatatertib lalu dan pernah diberi amaran oleh pihak universiti. Dia juga didapati telah melanggar akujanji yang diikrar olehnya pada 29 Jun 2009.

''Justeru, dia (Adam Adli) disabitkan bersalah di bawah kaedah 3 (a)(i) dan (ii), Bahagian II, Tatatertib Am, Kaedah-kaedah UPSI (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999 dan hukumannya dia digantung pengajian selama tiga semester bermula Semester II Sesi 2011/12 sehingga akhir Semester II Sesi 2012/13," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini petang ini.

Menurut Junaidi, Adam Adli boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah Universiti dalam tempoh 14 hari dan pihak berkenaan akan membuat keputusan terhadap rayuan tersebut dalam tempoh 30 hari.

Sementara itu, Adam Adli, pelajar semester lima dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dalam sidang akhbar selepas perbicaraan itu berkata, dia tidak akan membuat rayuan atas hukuman tersebut.

Sebaliknya, pelajar dari Seberang Prai, Pulau Pinang itu berkata, dia akan mencabar keputusan kes tersebut dengan memfailkan kes di mahkamah awam tidak lama lagi.

''Ini adalah keputusan mahkamah universiti berlandaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) semata-mata yang tidak pernah saya iktiraf. Justeru, saya akan memfailkan kes ini di mahkamah luar untuk mencabarnya," katanya.

Terdahulu, Adam Adli yang diiringi seorang rakannya dilihat masuk ke pekarangan universiti itu yang dikawal ketat anggota keselamatan dan polis kira-kira pukul 3.15 petang.

Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang yang sebelum ini digembar-gemburkan mengalami cedera parah ketika berdemonstrasi baru-baru ini, turut dilihat mengiringi Adam Adli bersama Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Shukri Razab..

Adam Adli Abdul Halim bercakap kepada pemberita di luar kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris selepas digantung pengajian tiga semester di Tanjung Malim, Perak, semalam.

No comments:

Post a Comment