Tuesday, January 10, 2012

40% Premis di Terengganu Tiada Sijil FC – Bomba

Hampir 40 peratus bangunan di negeri ini didapati belum memiliki sijil keselamatan kebakaran (FC) yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

Penghuninya mungkin terdedah kepada bahaya yang bakal dihadapi jika terperangkap dalam bangunan yang tidak dilengkapi aspek keselamatan bagi mencegah kebakaran itu.

Penolong Penguasa Bomba, Cawangan Penguatkuasaan Keselamatan Bangunan bahagian Keselamatan Kebakaran negeri, Azmi Omar berkata, sijil itu penting kerana ia hanya dikeluarkan untuk bangunan yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

Utusan Malaysia difahamkan, bangunan yang dikaitkan itu termasuk premis perniagaan dan perkhidmatan bertingkat membabitkan milik awam dan juga kerajaan.

Katanya, dengan adanya sijil itu, ia bukan sahaja dapat meminimumkan jumlah kerugian malah mengelak sebarang kemalangan jiwa jika berlaku kebakaran.

“Bagaimanapun, saya melihat ada peningkatan dalam hal ini (jumlah bangunan yang mempunyai sijil FC) dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Justeru, pihak bomba menyasarkan semua bangunan di negeri ini akan mendapat sijil berkenaan tahun hadapan,” katanya di Kuala Terengganu kelmarin.

Jelasnya, sehingga kini, sebanyak tujuh kes sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan kerana tidak memiliki sijil berkenaan.

“Setiap premis perlu memiliki sijil ini dan mereka (pemilik premis) akan diberi notis jika masih ingkar,” katanya.

Bagaimanapun, jika masih berdegil selepas diberikan notis, tindakan akan diambil dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun.

No comments:

Post a Comment