Thursday, January 5, 2012

Ahmad Said - 'Jangan Terbabit Skandal Rasuah'

Dua pasukan adik-beradik, Terengganu dan T-Team awal-awal lagi diberikan amaran keras supaya tidak terbabit dalam sebarang skandal menjual permainan atau menerima rasuah jika tidak mahu kerjaya mereka musnah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, sekiranya ada mana-mana pemain, tidak kira yang beraksi dalam Liga Malaysia atau Piala Presiden terbabit dengan gejala itu, mereka secara automatik akan ditamatkan kontrak.

“Bukan kerjaya mereka saja akan hancur, silap-silap akan dimasukkan ke penjara. Justeru, kita harap pemain tidak sesekali terjerumus dengan kancah tidak sihat ini sebab gejala ini sudah menjadi satu perniagaan kepada pihak tertentu,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak pemain Liga Super 2012 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan T-Team di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Ahmad Said mengulas isu berkenaan selepas mendapati trend bola sepak masa kini banyak membabitkan bookie dan pemain serta pengurusan perlu bijak mengatasi masalah itu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri merangkap Pengurus T-Team, Rozi Mamat; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh.

Ahmad Said berkata, pemain serta pengurusan pasukan harus menjaga maruah negeri demi mengelak perbuatan mengkhianati pasukan, negeri dan peminat setia.

Pada majlis itu, Skuad Penyu menerima tajaan dari pengeluar pakaian sukan ‘Specs’ bernilai RM300,000 yang akan membekalkan juara Piala FA 2011 itu dengan kelengkapan bagi perlawanan dan latihan, selain tajaan syarikat teknologi maklumat tempatan, Top IT Sdn Bhd bernilai RM250,000, Syarikat Tiara Pesona Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan bas Ekspres Perdana dan Zaid Enterprise dengan masing-masing menyumbang RM50,000.

Jenama telekomunikasi ‘Happy’ turut diumumkan sebagai penaja Terengganu musim ini tetapi jumlah tajaannya hanya akan dimaklumkan pada satu majlis yang lain.

T-Team pula terus bersama pengeluar pakaian sukan tempatan ‘Admiral’ yang menaja semua pakaian pasukan kelab itu dengan jumlah tajaan RM350,000.

No comments:

Post a Comment