Thursday, January 5, 2012

PDRM Lakukan Risikan Demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901'

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan risikan terperinci berhubung demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901' yang dirancang diadakan di ibu kota Isnin ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata ketika ini, PDRM berusaha mengesan pengedar poster, kain rentang, mesej serta blog yang menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan haram itu.

"Ini menampakkan bahawa ada orang yang mendalagi perhimpunan ini, bukan sahaja dengan matlamat yang sebenar, tapi ada lagi agenda tersembunyi yang menggugat keselamatan. Ini yang menjadi kerisauan pada polis untuk tangani bagi menjaga keselamatan orang ramai," katanya dalam program Soal Jawab di TV3 malam tadi.

Demonstrasi itu dikatakan bertujuan menuntut keadilan bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual memberi penghakiman berhubung kes liwat membabitkan beliau pada hari tersebut.

Salleh berkata terdapat juga maklumat bahawa ada kumpulan tertentu bakal digunakan untuk mendatangkan ancaman terhadap keselamatan mereka yang akan hadir pada perhimpunan itu.

Salleh berkata risikan juga mendapati perhimpunan itu akan diadakan di kawasan lain.

"Maklumat risikan kita mendapati bukan sahaja di mahkamah sahaja... ada lagi di tempat-tempat di sekitar ibu kota untuk diadakan perhimpunan ini.

Di Putrajaya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sebarang demonstrasi jalanan tidak akan mengubah mana-mana keputusan mahkamah.

Katanya, orang ramai tidak perlu terlalu emosi dan mudah terpengaruh jika ada pihak tertentu cuba menghasut mereka bagi menyertai demonstrasi berkenaan.

"Saya nak ingatkan orang ramai kes yang ada di mahkamah yang akan dijatuhkan hukumannya tak lama lagi sudah lama berjalan, kenapa baru sekarang ada perancangan tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pasca kabinet kementerian itu di sini Rabu.

Hishammuddin berkata polis tidak akan berkompromi dengan cubaan penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu sehingga boleh mengganggu-gugat keselamatan orang awam.

"Yang menjadi sandaran Polis Diraja Malaysia ialah keselamatan, ketenteraman dan kepentingan orang awam termasuk peniaga dan penjaja. Jika tidak menjejaskan keadaan, saya tengok tidak mendatangkan masalah.

"Tetapi kalau sekiranya jelas apa yang nak dilakukan ini disengajakan atau akan menimbulkan huru-hara ini akan menjadi pertimbangan pihak polis," katanya.

Pada sidang akhbar sama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh untuk mengadakan pertemuan dengan penganjur demonstrasi itu.

No comments:

Post a Comment