Saturday, January 14, 2012

Amaran Keras Kepada Pemilik Tanah Terengganu Tidak Bayar Tunggakan Cukai

Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran keras termasuk merampas tanah pemilik yang didapati tidak menjelaskan tunggakan cukai tanah melebihi 10 tahun lepas.

Ketika memberi amaran itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia bukan untuk membebankan rakyat tetapi untuk menjadikan pemilik tanah berkenaan lebih bertanggungjawab.

"Ia melibatkan 25,047 hak milik dan mulai tahun ini pejabat tanah akan mengeluarkan notis kepada pemilik yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Besar Terengganu bersama warga pentadbiran tanah negeri di Kaula Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Tuan Mamat Tuan Ngah.

Kutipan cukai tanah di Terengganu yang dicatat pada tahun 2011 ialah RM23 juta sedangkan hasil sebenar yang patut dipungut ialah RM26 juta, katanya.

Sementara itu, Ahmad Said berkata pada tahun lepas kerajaan negeri membelanjakan RM80 juta untuk pengambilan balik tanah di 24 kawasan bagi tujuan pembangunan.

Katanya,kerajaan negeri mahu semua pentadbir tanah di negeri ini supaya melipatgandakan usaha dengan menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 85 peratus pemilik tanah membayar cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebanyak 25,047 hak milik dikesan gagal membayar cukai sehingga lebih 10 tahun walaupun pelbagai pendekatan dilaksanakan.

"Kerajaan negeri berhasrat memberi ganjaran setimpal kepada Pejabat Tanah yang berjaya mengutip 85 peratus hasil tahunan daripada keseluruhan hak milik tanah di daerah masing-masing.

Sehubungan itu, Ahmad Said meminta para pemilik supaya prihatin mengenai pembayaran ini bagi mengelak tunggakan dan didenda lewat bayar atau berdepan tindakan lebih tegas.

Menurut beliau, kutipan cukai hasil tanah negeri lalu meningkat 0.4 peratus kepada RM23.02 juta berbanding 2010 atau 87 peratus daripada jumlah sasaran berjumlah RM26.21 juta.

Walaubagaimanapun katanya, kutipan cukai tertunggak menunjukkan penurunan sebanyak 2.3 peratus berbanding 2010 dan penyelesaian bilangan hak milik tanah juga menurun daripada 64.31 peratus pada 2010 kepada 63.39 peratus (2011).

Ahmad Said berkata, hasil gerak kerja yang cekap daripada pengawai dan kakitangan terbukti melalui prestasi keseluruhan yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Katanya, pungutan hasil negeri secara keseluruhannya pada tahun lalu meningkat kepada RM90.63 juta berbanding RM69.56 juta (2010).

''Manakala 1,832 permohonan tukar syarat tanah berjaya diselesaikan pada tahun sama berbanding 1,328 (2010).

"Penyelesaian pendaftaran hak milik baru bagi tahun 2011 turut meningkat kepada 17,491 berbanding 16, 075 (2010).

"Begitu juga dengan penyelesaian pendaftaran hak milik sambungan daripada hak milik sementara (QT) kepada hak milik tetap (FT) sebanyak 14,686 pada 2011 berbanding 14,048 (2010)," katanya.

Bagi proses pengambilan tanah kata Ahmad, kerajaan negeri memperuntukkan RM80 juta pada tahun lalu untuk bayaran pampasan di 24 kawasan di seluruh negeri.

No comments:

Post a Comment