Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sesuatu perhimpunan adalah antara pendekatan yang perlu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengelakkan segelintir individu membuat kekacauan dan huru-hara ketika berhimpun.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Kamarudin Md. Ali berkata, CCTV perlu dipasang dalam jarak yang bersesuaian untuk tujuan keselamatan.
Katanya, melalui kaedah itu pihak keselamatan lebih mudah untuk memantau keadaan selain dapat mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab cuba menghuru-harakan keadaan ketika perhimpunan berlangsung.
"Ada golongan yang saya gelar sebagai 'anarki' menggunakan perhimpunan untuk mencetuskan suasana kelam-kabut. Ketika itu pemantauan melalui CCTV amat penting sekali gus keselamatan dapat dipertingkatkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Balai Polis Cabang Tiga dekat sini semalam dalam program lawatan dan penilaian balai polis terbaik yang turut melibatkan 26 lagi balai polis seluruh negara.
Kamarudin menjawab soalan berkaitan isu letupan bom yang berlaku ketika perhimpunan yang diadakan sewaktu keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Dalam kejadian tersebut, lima cedera termasuk peguam selepas kejadian letupan dipercayai bom buatan sendiri berlaku di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Bagaimanapun jelasnya, dalam usaha memastikan sesebuah penganjuran perhimpunan itu berjalan dengan aman seperti yang ditetapkan oleh polis, pihak penganjur memainkan peranan dalam memastikan mereka yang terlibat tidak bertindak keterlaluan.
Jelasnya, pihak penganjur perlu menetapkan individu yang dibenarkan menyertai perhimpunan berkenaan.
"Mereka perlu pastikan individu yang menyertai perhimpunan itu tidak mempunyai niat buruk yang akan membawa kekacauan. Melalui cara itu, pihak penganjur boleh menjamin keselamatan jika sesuatu perhimpunan itu diadakan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment