Thursday, January 5, 2012

Anwar 901 - MB Ingatkan Penjawat Awam, Laporan Polis Tertinggi Di Terengganu


Terengganu menerima laporan polis membantah Kempen Bebaskan Anwar 901 tertinggi bagi tempoh semalam iaitu sebanyak 55 diikuti Kedah dan Sabah masing-masing 18 manakala Selangor (12).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pula mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar tidak melibatkan diri dengan demonstrasi Kempen “Bebaskan Anwar 901” yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin ini.

Beliau berkata, penjawat awam yang didapati terlibat dengan demonstrasi ini akan dikenakan tindakan disiplin.

“Demonstrasi yang dirancang penyokong Anwar, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pakatan pembangkang itu cuba menimbulkan huru-hara seolah-olah mereka tidak mempercayai proses perundangan dan keadilan melalui mahkamah.

"Ini satu perkara yang tidak harus berlaku dan inilah trend yang dilakukan oleh pembangkang,” katanya selepas mesyuarat Exco semalam.

Beliau berkata, ini bukan satu cara yang betul dan ia sepatutya diserahkan kepada hakim untuk membuat keputusan melalui keadilan mahkamah, katanya.

Penganjur kempen itu merancang mengadakan demonstrasi pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan keputusan mengenai perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini.

Jumlah laporan polis bagi membantah Kempen Bebaskan Anwar 901 naik mendadak semalam apabila sebanyak 147 laporan polis diterima dalam tempoh sehari.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan laporan yang dibuat pelbagai pihak sehingga semalam adalah sebanyak 486 berbanding 339 pada hari sebelumnya.

Selain itu, Pahang menerima sembilan laporan, Johor (8), Pulau Piang (6) manakala Kuala Lumpur, Perlis dan Perak masing-masing lima laporan, Kelantan (4) dan Melaka dua laporan.

Sementara itu, di Shah Alam, polis diminta menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kenyataan berunsur hasutan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali semalam yang mengajak masyarakat berhimpun secara haram sempena Kempen Bebaskan Anwar 901.

Permintaan itu dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor dalam lima laporan polis di IPD Shah Alam, pukul 12.30 tengah semalam.

Di Kota Bharu, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada penganjur perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901.

Laporan tersebut dibuat oleh Presidennya, Azmi Ali yang diiringi kira-kira 100 ahli pergerakan itu di Balai Polis Kota Bharu dekat sini, kira-kira pukul 4 petang ini.

Azmi berkata, laporan tersebut dibuat bagi membantah perhimpunan haram tersebut kerana ia akan hanya menjejaskan ketenteraman awam di ibu negara seterusnya merugikan semua pihak.

"Selain menyalahi undang-undang, perhimpunan tersebut boleh menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita semalam.

No comments:

Post a Comment