Wednesday, January 25, 2012

Azizulhasni, Josiah Perkuat Skuad Malaysia Untuk Dominasi ACC 2012


Pelumba trek kebangsaan, Azizulhasni Awang dan Josiah Ng akan kembali ke tanah air untuk memperkuatkan skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC) di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dari 7 hingga 18 Feb ini.

Kehadiran kedua-dua pelumba trek utama negara itu dilihat akan membantu skuad kebangsaan menyekat penguasaan pelumba dari Jepun, Korea Selatan dan China.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ACC, Abu Samah Wahab berkata Azizulhasni dan Josiah, dijangka memberi saingan kepada pelumba seperti Zhang Miao dan Zhang Lei (China), Kazunari Watanabe (Jepun) dan Dong Jin Kang (Korea Selatan).

"Saya dimaklumkan oleh ketua jurulatih, John Beasley bahawa Azizulhasni dan Josiah akan diturunkan bagi memastikan kita dapat mengutip seberapa banyak mata kelayakan Sukan Olimpik yang ditawarkan menerusi kejohanan ini.

"John Beasley dan penasihat program kejurulatihan, Graham Seers telah berbincang dengan saya berhubung apa yang kita sasarkan daripada kejohanan ini nanti," Abu Samah, yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata demikian dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Abu Samah berkata sekalipun senarai awal pelumba belum dikeluarkan, Korea Selatan yang merupakan kuasa besar basikal Asia telah tiba semalam dengan dibarisi 10 pelumba.

"Pasukan Korea Selatan juga akan menjadi pasukan asing pertama menguji Velodrom Kuala Lumpur, Cheras selepas dinaik taraf selain Qatar dan Jepun yang akan menyusul kemudian kerana dua pasukan tersebut dijangka sampai esok bagi menyesuaikan pelumba mereka dengan keadaan cuaca di negara kita lebih awal sebelum ACC 2012 bermula," katanya.

Pasukan Berbasikal Malaysia mencatat kejayaan sensasi pada dua edisi ACC 2011 apabila membawa 15 pingat termasuk lima emas di Korat, Thailand dan 10 pingat di Sharjah, Emeriah Arab Bersatu.

Mengenai pasukan lebuh raya pada ACC kali ini, Abu Samah berkata terpulang kepada Beasley dan jurulatih skuad lebuh raya, Syed Mohd Hussain Syed Mazlan untuk membuat pemilihan pelumba.

Malaysia sudah melayakkan diri secara merit bagi acara lebuh raya Sukan Olimpik London bersama Jepun, Uzbekistan dan Kazakhstan.

No comments:

Post a Comment