Monday, January 9, 2012

Buruh Tanam Rangka Kereta diTahan

Rangka kereta yang telah dikemekkan dan ditanam berjaya ditemui hasil penahanan seorang suspek berkait kes dadah di Kampung La, Besut, baru-baru ini.

Penahanan seorang buruh berhubung kes dadah di Kampung La Besut baru-baru ini dijangka berjaya membantu menyelesaikan beberapa kes curi kereta di daerah itu.

Ekoran dari penahanan itu, polis menemui sebuah rangka kereta yang telah dikemek dan ditanam di belukar belakang rumah suspek bagi mengelak ia dikesan oleh pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, komponen kereta yang dicuri telah dileraikan sebelum dijual.

Menurut beliau, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan oleh anggota polis Bahagian Narkotik pada 27 Disember lalu kerana disyaki terlibat dengan kegiatan dadah.

“Suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sehari selepas itu untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dengan kegiatan curi kenderaan.

“Hasil maklumat yang diperoleh, polis kemudian pergi ke tempat kejadian (tempat kereta ditanam),” katanya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurut beliau, polis terpaksa menggunakan khidmat jentolak untuk mengangkat keluar kenderaan yang ditanam itu.

Katanya, semakan lanjut mendapati, suspek dikehendaki polis kerana terlibat dalam beberapa kes curi kenderaan di daerah ini.

No comments:

Post a Comment