Friday, January 20, 2012

Dua Rakan Rapat Mangsa Kemalangan Kongsi Tarikh Lahir

Mohd Rizal Ibrahim dan Mohd Faris Mohd Shaimi, dua daripada empat orang yang terbunuh dalam nahas ngeri di Jalan Sultan Mohamad di Gong Badak dekat sini semalam, bukan saja merupakan rakan karib tetapi juga berkongsi tarikh lahir iaitu 9 Jun.

Malah, allahyarham Mohd Faris, 26, yang gembira kerana baru dinaikkan pangkat, telah mempelawa Mohd Rizal, 30, untuk tinggal serumah dengannya.

Demikian diceritakan oleh seorang daripada rakan mereka, Mohd Farid Mohd Isa, 27, di Kuala Terengganu setelah beliau mendengar perbualan kedua-dua sahabat itu.

"Saya dengar Faris memberitahu Rizal...'Rizal tinggal seorang, Faris nak bawa Rizal tinggal sekali, dan dijawab oleh Rizal...Rizal pun nak ikut Faris," kata Mohd Farid ketika ditemui di rumah mayat Hospital Nur Zahirah di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Mohd Faris dan Mohd Rizal, kedua-duanya petugas Institut Latihan Kuala Terengganu, mati di tempat kejadian selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum melambung dan menghempap sebuah kereta lain menyebabkan dua penumpang kereta berkenaan, Nor Azni Mat Jusoh, 41, dan Zaini Abdul Razak, 43, turut terbunuh.

Mohd Farid berkata Mohd Faris begitu teruja menerima berita bahawa dia dinaikkan pangkat menjadi warden asrama lalu mengajak Mohd Rizal untuk tinggal sekali.

"Kali terakhir saya jumpa mereka iaitu selepas waktu kerja petang semalam, dan kami janji nak jumpa pukul 8 malam untuk pergi beli tiket bas untuk kedua-dua mereka balik kampung sempena cuti Tahun Baru Cina.

"Bagaimanapun kami tidak sempat berbuat demikian setelah satu menerima berita malang itu," katanya.

Mohd Faris, yang berasal dari Teluk Intan, Perak, dan Mohd Rizal dari Baling, Kedah, amat rapat sejak mula bertugas di institut itu tiga tahun lepas.

Ayah kepada allahyarham Nor Azni, Mat Jusoh Long, 60, pula berkata beliau terkilan anak bongsunya itu tidak dapat menamatkan pengajian di peringkat diploma.

Katanya Nor Azni yang sedang mengikuti latihan amali di Universiti Teknolongi Mara (UiTM) di Seri Iskandar, Perak, bercita-cita menjadi juruukur bahan.

No comments:

Post a Comment