Saturday, January 14, 2012

FAM Tidak Berlembut 'Gertakan' Terengganu

Angkuhnya Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menunjukkan tanda tidak mahu berlembut berhubung 'gertakan' Terengganu dan T-Team untuk menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga-M) berhubung isu pemain import.

Dalam reaksinya berhubung amaran keras Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kelmarin, berkata isu pendaftaran pemain import sudah diperjelaskan berulang kali.
Jelas Hamidin yang juga Naib Presiden FAM, lantaran itu beliau juga tidak mahu mengeruhkan lagi isu tersebut.

"Sebagai salah seorang exco FAM, saya memahami dan mengambil berat apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar Terengganu kelmarin.

"Jika mahu mendapatkan komen terhadap apa yang beliau perkatakan semalam (kelmarin), saya telah pun berikan penjelasan berulang kali kepada media mengenai isu berkenaan (pendaftaran pemain import).

"Jadi, tidak perlu saya nyatakan sekali lagi terhadap isu ini. Apabila tiba masa yang sesuai, saya akan berikan maklum balas mengenai pendirian FAM, " katanya.

FAM dijangka mengadakan sidang media selepas mesyuarat khas JPKT di Wisma FAM petang semalam.

Mesyuarat itu dijangka menjawab segala persoalan yang mahu dikemukakan PBSNT.

Kelmarin, Ahmad Said yang mewakili kerajaan negeri mahu FAM membenarkan dua pemain import yang telah ditandatangani Terengganu iaitu Erison Da Silva Santos Carnieto dan Francis Forkey Doe beraksi dalam saingan Liga Super atau membayar ganti rugi kos pembayaran pemain.

Jika FAM enggan mengikut pilihan yang diberikan, Ahmad mengancam akan menarik penyertaan Terengganu dan T-Team dalam saingan Liga Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ahli bersekutu FAM mempunyai hak menyaman badan induk bola sepak negara itu tetapi ia merupakan proses terakhir dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian.

Merujuk kepada laporan bahawa kerajaan Terengganu akan menyaman FAM sekiranya badan induk itu gagal memenuhi tuntutan berhubung kes pemain import, katanya mengikut prosedur badan induk tersebut, anggota bersekutu perlu terlebih dahulu melalui beberapa proses.

"Sebagai anggota bersekutu, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) perlu merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Jika tidak berpuas hati, bolehlah membawa perkara tersebut kepada mesyuarat Exco FAM.

"Proses seterusnya ialah membawa kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan sekiranya masih gagal menemui penyelesaian, barulah boleh mengambil tindakan undang-undang,” katanya semalam.

No comments:

Post a Comment