Pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berbincang semula bagi menyelesaikan isu melibatkan pemain import yang melibatkan kedua-dua pihak, kata bekas pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Beliau berkata masalah itu perlu ditangani segera bagi mengelak imej baik FAM dan sukan bola sepak negara daripada tercemar.
"Saranan saya adalah supaya kedua-dua pihak duduk semeja dan berbincang seperti adik-beradik dan cari penyelesaian terbaik mengenai perkara ini. Orang luar akan menuding jari kepada FAM sedangkan perkara ini adalah di peringkat jawatankuasa kecil dan saya rasa penyelesaian menang-menang masih boleh dicari," katanya kepada pemberita di Ipoh kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam yang memberi kata dua kepada FAM dan mahukan badan itu bertindak menyelesaiakan masalah berkenaan dengan segera atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Ahmad Said dilaporkan mahu FAM membenarkan Terengganu menggunakan dua pemain import yang telah didaftarkan sebelum ini serta membayar ganti rugi kerana kerajaan negeri telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk mendapatkan dua pemain import berkenaan.
Selain itu, PBSNT juga mahu dua pasukan dari negeri itu untuk menarik diri dari Liga M dan Piala Malaysia sekiranya tiada jalan penyelesaian.
Isu itu timbul ekoran pekeliling FAM bertarikh 23 Dis 2011 berhubung pendaftaran pemain import yang dihantar oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad sebelum kontrak bersama pemain import ditandatangani untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2012.
Terengganu dikejutkan dengan keputusan FAM yang tidak membenarkan dua pemain import itu beraksi dalam Liga Super yang telah bermula dua hari lepas dengan alasan PBSNT gagal mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan.
Raja Ahmad Zainuddin, yang terlibat menyuarakan keperluan membawa semula pemain import ke kancah Liga Super musim ini, berkata beliau merasa terkilan dengan isu itu.
"Liga M dan Piala Malaysia akan pudar sekiranya kedua-dua pasukan Terengganu ini meninggalkan pertandingan," katanya.
Sementara itu di Kemaman semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementeriannya berharap kekusutan yang berlaku antara PBSNT dan FAM dapat diselesaikan dengan baik.
Beliau mahu melihat badan bola sepak negara dan PBSNT menyelesaikan isu itu secara profesional, bukan secara sentimen dan sebagainya.
"Kita tahu dalam sistem bola sepak FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), campur tangan kerajaan yang kerap dianggap tidak baik dan saya bimbang kalau terlalu banyak campur tangan kerajaan, politik dan sebagainya, ia boleh memberi ancaman kepada masa depan FAM.
"Kita difahamkan FAM akan mengadakan mesyuarat khas hari ini dan kita tunggulah keputusannya," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Semai Bakti Parlimen Kemaman semalam.
Ahmad Shabery berkata dalam keghairahan ingin menurunkan pemain import, pihaknya tidak mahu melihat ada pasukan yang terpinggir.
"Apa yang disuarakan Menteri Besar Terengganu itu dilihat mewakili perasaan orang Terengganu dan penyokong PBSNT, manakala FAM juga ada pendiriannya.
"Saya minta perkara ini diselesaikan di peringkat FAM dan PBSNT. Saya tidak wajar campur tangan pada masa ini kerana kalau campur tangan, ia dikhuatiri boleh mengancam status FAM pada kaca mata FIFA," katanya.
No comments:
Post a Comment