Sunday, January 22, 2012

Firefly Tawar Diskaun 20 Peratus Bagi Tambang Februari

Firefly akan memperkenalkan promosi 'Firefly Celebrates February' (Firefly Meraikan Februari) dan menawarkan diskaun 20 peratus bagi tambang biasa.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan kelmarin berkata promosi terhad hanya kepada tempahan perjalanan yang dibuat menerusi dalam talian dari 21-29 Jan, 2012, untuk perjalanan sepanjang Februari ke destinasi terpilih dalam rangkaian laluannya.

Laluan yang terlibat adalah penerbangan pergi balik dari Subang ke Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Bharu, Kuantan, Langkawi, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Medan, Batam, Pekan Baru dan Koh Samui.

Promosi itu juga bagi Pulau Pinang ke Kuantan, Kota Baharu, Langkawi, Medan, Phuket dan Banda Aceh, serta Singapura ke Subang, Kuantan dan Ipoh.

"Promosi ini ditawarkan khusus bagi manfaat penumpang kami yang mana kami tahu mereka ingin bersama keluarga dan orang yang tersayang semasa musim perayaan dan keagamaan pada Februari atau hanya untuk pergi bercuti," kata ketua pegawai operasi jarak dekat Malaysia Airlines/Firefly, Ignatius M.C. Ong.



Ong berkata dengan tawaran itu, sekumpulan lima orang akan dapat berjimat harga bagi tempat duduk tambang biasa.

"Dengan sambutan Hari Valentine tidak lama lagi, kami juga mahu menggalakkan pasangan berbelanja dan menghabiskan masa bersama-sama dengan pergi bercuti," kata Ketua Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Angelina C Fernandez.

"Promosi ini hanya satu daripada banyak kempen dalam talian dan luar talian yang kami tawarkan tahun ini bagi meraikan pelanggan kami yang kekal setia bersama kami.

"Hari ini, kami mengagihkan biskut dan cokelat kepada penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang dan beberapa lapangan terbang domestik lain di mana kami beroperasi.

"Ini bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang ini," katanya

No comments:

Post a Comment