Sunday, January 22, 2012

JPJ Terengganu Teruskan 'Ops Penyamaran' Sepanjang Tahun Baru Cina

Ops Penyamaran' yang diperkenalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merupakan antara langkah efektif dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan pengangkutan awam sepanjang musim perayaan.

Justeru, Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata pihaknya akan terus menggunakan kaedah itu sepanjang perayaan Tahun Baru Cina kali ini.

Katanya sejak JPJ melancarkan ops penyamaran hampir dua tahun lalu, kemalangan membabitkan kenderaan pengangkutan awam, berkurangan.

"Setakat dua tahun lalu kemalangan membabitkan bas ekspres pada musim perayaan tidak direkodkan di negeri ini, bagaimanapun masih ramai pemandu bas yang melakukan kesalahan lain seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

"Kita akan terus membuat ops penyamaran ini biarpun tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun kesalahan-kesalahan lain tetap mencatat peningkatan sepanjang musim perayaan tahun lepas iaitu sebanyak 120 kes dikesan dilakukan oleh pemandu bas eskpres," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Rahman berkata pemandu bas akan lebih berwaspada ketika memandu apabila menyedari pihak berkuasa berada di dalam kenderaan yang dipandu mereka.

Sementara itu beliau berkata pada musim perayaan kali ini pihaknya akan membuat pemeriksaan secara rawak ke atas kenderaan agar tidak mengganggu aliran trafik di negeri itu.

-- BERNAMA
Sementara itu sebanyak 129 notis saman dikeluarkan kepada pengguna kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam operasi sempena Tahun Baru Baru Cina oleh pihak berkuasa malam tadi.

Operasi bersepadu yang disasarkan di tujuh lokasi itu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, notis saman itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 408 buah kenderaan yang telah ditahan.

''Terdapat 55 kes yang melibatkan kesalahan berkaitan lesen memandu, 31 kes berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lain-lain kesalahan yang berjaya dikesan pula sebanyak 297 kes.

"Empat buah motosikal turut disita dalam operasi yang bermula dari pukul 8 hingga 12 malam itu dan pihak AADK juga berjaya mengesan 16 pengguna kenderaan yang disyaki terlibat dengan pengambilan dadah," katanya kepada pemberita semasa mengadakan operasi sekatan jalan raya berhampiran Pantai Batu Burok di sini malam tadi.

Operasi juga ditumpukan di Kampung Batas Baru, Kampung Wakaf Beruas, Dewan Sivik Pasir Panjang, Jalan Tok Kaya, Masjid Durian Burung, Jalan Panji Alam dan jalan berhampiran Hotel Grand Continental di sini.

Ia melibatkan 100 anggota penguat kuasa yang terdiri daripada 50 anggota JPJ, 40 anggota trafik serta 10 anggota AADK.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Alias Hashim ketika ditemui berkata, sebanyak enam kes kemalangan maut berlaku sepanjang Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina di negeri ini sehingga semalam.

Katanya, sebahagian besar daripada kes itu melibatkan pengguna yang memandu terlalu laju sehingga mengakibatkan kenderaan sukar dikawal sebelum terbabas.

"Justeru, saya nasihatkan kepada pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal supaya sentiasa berhati-hati terutamanya pada waktu kemuncak ini Tahun Baru Cina.

"Ini kerana jumlah kenderaan akan menjadi berlipat kali ganda khususnya di jalan negeri dan jalan bandaran pada waktu berkenaan," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment