Tuesday, January 24, 2012

Ibu Tunggal Enam Anak Gembira Rumah Usang Diperbaiki

Sebahagian daripada kakitangan, penuntut serta wakil anak syarikat TATIUC yang terlibat program membaiki serta membersihkan rumah Napisah Taib di Kampung Tanah Lot Baru Titian Berayun, Kemaman, semalam.

Nasib seorang ibu tunggal dan enam anaknya di Kampung Tanah Lot Baru Titian Berayun dekat sini yang hidup dalam sebuah rumah usang mendapat pembelaan apabila Kolej Universiti TATI (TATIUC) melalui program kemasyarakatannya bergotong-royong membaiki rumah keluarga tersebut.

Menerusi peruntukan RM5,000 dan khidmat tenaga 80 orang warganya, mereka membaiki serta membersihkan rumah keluarga Napisah Taib, 48, baru-baru ini.

Keluarga itu turut dibekalkan dengan peralatan rumah dan barangan dapur bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.

Rektor TATIUC, Dr. Mohd. Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, ia merupakan program kali ketiga untuk sesi 2011/2012 bertujuan mendekatkan penuntut dengan masyarakat.

"Dana untuk melaksanakan program ini disumbangkan oleh anak syarikat TATIUC iaitu Ruane TATI dan TATI Production.

''Gotong-royong pula dijayakan oleh kakitangan dan penuntut TATIUC, wakil anak syarikat TATIUC serta warga kerja Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Kijal," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Mohd Rozailan, program seumpama itu terus digerakkan berasaskan harapan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC.

Sementara itu, Napisah, yang bekerja di sebuah kedai membekalkan santan meluahkan rasa syukur dengan bantuan yang disalurkan.

Katanya, tanpa bantuan mana-mana pihak, dia tidak mungkin dapat membaiki rumahnya yang usang kerana berpendapatan sekadar cukup untuk keperluan anak-anak.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment