Perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, berkata beliau bimbang jika kita teruskan sikap demonstrasi ini, negara kita akan terdorong ke arah araki seperti negara tidak berundang-undang.
Lantas beliau menasihati masyarakat terutamanya orang muda janganlah hadir pada perhimpunan tersebut, saya tidak reda melihat anak-anak bangsa melibatkan diri dengan perkara peribadi orang lain.
Beliau merujuk kepada perhimpunan yang dirancang pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusannya berkenaan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pakatan Rakyat dilapor bercadang membawa sekitar 100,000 orang menyertai kempen itu Isnin ini. Mereka yang akan hadir termasuklah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Kenyataan beliau itu, yang baru-baru ini menjadi perhatian dalam pergolakan dalaman Pas, sekali gus menolak tindakan Pesuruhjaya Pas Selangor Dr. Abd. Rani Osman yang mengajak ahlinya menyertai perhimpunan haram berkenaan.
Rani menggantikan Dr Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.
Menurut Hasan, tindakan Rani itu hanya pendapatnya sendiri dan telah membelakangi pandangan pimpinan pusat.
“Pas Selangor nampak proaktif dalam cara yang salah sebab sebelum ni dihalang ahli pergi Himpun 2011, padahal itu perkara baik membincangkan isu agama yang sebenarnya hala tuju parti Pas.
“Kalau diteruskan sikap seperti ini, pandangan parti nampak tak cantik. Jangan malukan parti dengan kenyataan dia (Rani) yang tidak mewakili Pas, itu kenyataan peribadi dia,’ katanya pada sidang media di Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam.
Exco Kerajaan Negeri Selangor ini juga menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli Pas menyertai Kempen Bebaskan Anwar 901.
“Boleh dikatakan 70 peratus anak muda ahli Pas, mahu mengajak mereka buat sesuatu perkara itu biarlah betul... ini isu peribadi, buat apa nak besarkan, bagi saya mahkamah dah bagi banyak ruang dan peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, terima saja keputusannya nanti.
“Tambahan sekarang ini sedang peperiksaan akhir, anak muda dinasihatkan belajar bersungguh-sungguh dan takluk universiti utama dunia daripada menyertai benda yang dah lama atau ‘mual’ ini,’ katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment