Friday, January 6, 2012

Terengganu Dahului Bantahan Kempen Bebaskan Anwar

Terengganu terus mendahului laporan polis bagi membantah rancangan perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar pada Isnin ini.

Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi laporan iaitu sebanyak 149, diikuti Selangor dengan 137 laporan.

Sebanyak 788 laporan polis dibuat di seluruh negara daripada pelbagai sehingga pukul 9 malam semalam bagi membantah rancangan perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar berkenaan.

Negeri lain yang menerima laporan polis berhubung bantahan ini adalah Perlis (38), Kedah (71), Pulau Pinang (20), Kelantan (24), Perak (70).

Pahang turut menerima 75 laporan, Kuala Lumpur (11), Negeri Sembilan (40), Melaka (25), Johor (34), Sabah (80) dan Sarawak (14).

Perhimpunan haram anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertujuan menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang berhubung kes tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said Rabu lalu sudah mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar tidak melibatkan diri dengan demonstrasi Kempen “Bebaskan Anwar 901” yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin ini.

Penjawat awam yang didapati terlibat dengan demonstrasi ini akan dikenakan tindakan disiplin.

Beliau berkata, ini bukan satu cara yang betul dan ia sepatutya diserahkan kepada hakim untuk membuat keputusan melalui keadilan mahkamah, katanya.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar meminta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bercadang berhimpun membantah Kempen Bebaskan Anwar 901 dinasihatkan tidak berbuat demikian kerana khuatir keadaan akan bertambah buruk dan sukar dikawal.

Sebaliknya pihak-pihak tersebut disaran melakukan solat hajat pada malam 8 Januari di setiap negeri dan memohon supaya negara terus menikmati keamanan serta kemakmuran.

"Tiada gunanya mereka melawan perhimpunan haram tersebut. Ia hanya akan menimbulkan ketegangan, suasana huru-hara serta khuatir situasi gagal dikawal kerana emosi yang membuak-buak apabila kedua pihak bertembung.

Lebih baik kita bersama-sama melakukan solat hajat di setiap negeri pada malam sebelum keputusan kes liwat itu diumumkan (8 Januari) supaya negara aman, damai dan golongan yang menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) diberikan petunjuk serta hidayah," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas hasrat beberapa NGO seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Putra Malaysia, Pertubuhan Panel Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim), Persatuan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) dan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang yang mahu berhimpun pada 9 Januari ini bagi membantah perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901.

Selain itu, Fakhrul turut menasihatkan orang ramai khususnya penyokong Anwar yang bercadang menyertai perhimpunan tersebut supaya membatalkan hasrat berkenaan.

"Perhimpunan seumpamanya hanya mendatangkan masalah kepada orang lain untuk pergi bekerja dan melakukan tugasan seharian. Lihatlah apa yang telah berlaku di Mesir, Syria, kita patut jadikannya sebagai tauladan," jelasnya.

Sementara itu, Fakhrul turut menggesa ahli-ahli Pas tidak menyertai perhimpunan tersebut dan menyatakan sokongan kepada Anwar kerana jelas sekali Penasihat PKR itu tidak menyokong hudud yang diperjuangkan parti berkenaan.

"Belang beliau (Anwar) sudah terbongkar. Beliau sendiri mengakui bahawa pembangkang tidak akan melaksanakan hudud yang diperjuangkan Pas. Jadi mengapa masih mahu menyokong beliau?" ujarnya.

No comments:

Post a Comment