Perlumbaan berbasikal jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) kini sudah menjadi satu jenama kepada acara berbasikal di rantau ini dan ia bukan satu masalah jika acara itu tidak dijalankan di tempat asalnya, kata ketua pegawai operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal.
"Walau di mana pun acara ini diadakan, LTdL kini sudah jadi brand name yang cukup kuat di Asia. Tidak semestinya kalau kita tidak bermula di Langkawi, perlumbaan ini tidak boleh dikenali sebagai Le Tour de Langkawi,” katanya dalam sidang media selepas majlis menerima penajaan untuk edisi perlumbaan tahun ini di ibu pejabat LTdL, Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurut Emir, melalui pengenalan konsep penajaan venue yang pertama kali diperkenalkan dalam penganjuran LTdL, kerajaan negeri Terengganu telah tampil mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.
Konsep penajaan venue itu mengambil contoh konsep yang sama digunakan dalam penganjuran perlumbaan Tour de France.
"Untuk tahun ini, kita tidak melibatkan laluan Langkawi dan salah satu sebabnya kita mempunyai obligasi penajaan terhadap negeri Terengganu, di mana mereka memberi penajaan sebanyak RM1 juta kepada perlumbaan kali ini.
"Kita menukar sedikit laluan kali ini dan memberi kelebihan kepada negeri Terengganu. Tahun ini, kita ada tiga peringkat perlumbaan di Terengganu,” katanya.
Pada edisi kali ini, Terengganu akan menjadi hos kepada tiga peringkat perlumbaan iaitu peringkat kelapan dari Pekan, Pahang ke Chukai sejauh 100.8km, diikuti dua peringkat berikutnya iaitu Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km).
No comments:
Post a Comment