Biarpun cuaca hujan, namun kehadiran deretan puluhan ‘kepala’ treler yang tersusun memenuhi kawasan parkir di Taman Shahbandar, di sini, malam semalam berjaya menarik perhatian orang ramai memandangkan keadaan sedemikian jarang dilihat berlaku di lokasi tumpuan ramai itu.
Namun, itulah hasil kemuafakatan dan sikap bersatu-hati ditonjolkan kira-kira 40 pemandu treler dari beberapa daerah di negeri ini yang mempunyai cara tersendiri bagi menyambut ketibaan 2012.
Penyelas, Nuzuamry Abdullah, 43, berkata, selain menghitung detik 12 tengah malam menyambut kedatangan tahun baru, dia dan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk sama-sama berkumpul di Dataran Shahbandar untuk melaksanakan aktiviti kekeluargaan bersama ahli keluarga masing-masing.
“Biasanya, orang ramai hanya melihat treler atas jalan raya dan bukannya berkumpul dalam kuantiti yang banyak sebagaimana malam ini.
“Namun, apabila cadangan untuk berkumpul di sini dipanjangkan kepada rakan pemandu lain lain, rata-rata mereka bersetuju untuk turut serta dengan ditemani ahli keluarga,” katanya.
Malah katanya, dia tidak menyangka kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai walaupun hujan.
“Sebenarnya, pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan turut dirancang tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana cuaca tidak mengizinkan.
“Selain itu, tujuan berkumpul ini adalah sebagai satu titik permulaan dan kayu pengukur kerana kami ingin menubuhkan Persatuan Pemandu-pemandu treler Negeri Terengganu selepas ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Taman Shahbandar, di Kuala Terengganu, malam semalam.
Menurutnya, walaupun berkumpul di malam ambang tahun baru itu kali pertama diadakan pemandu treler, namun kemeriahannya turut terasa kerana kira-kira 150 orang datang sebagai sokongan termasuk ahli keluarga masing-masing.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment