Monday, January 2, 2012

Hudud Islam Jadi Hudud PAS Angkara Nik Aziz


Wan Ismail Wan Ahmad menunjukkan keratan manifesto PAS pada pilihan raya umum 1986 mengenai hukum hudud yang akan dilaksanakan di seluruh negeri untuk semua kaum, ketika ditemui di rumahnya di Machang, semalam.

Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, hari ini tampil menjelaskan bahawa hukum hudud yang diperjuangkan PAS tidak lagi berlandaskan al-Quran dan hadis.

Beliau mendakwa, ia telah dipinda pada 1993 susulan daripada kerjasama antara PAS, Semangat 46 (S46), DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum 1990.

Dakwa beliau, pada Pilihan Raya Umum 1986, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Pesuruhjaya PAS Kelantan telah mengeluarkan manifesto antara lain pelaksanaan undang-undang Islam yang turut berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam.

Wan Ismail yang pernah ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata, tafsiran hukum hudud itu bagaimanapun telah dipinda oleh Nik Aziz pada 25 November 1993 semasa beliau menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan.

Pindaan itu dakwanya, dilakukan dengan kerjasama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Penggubal Kanun Jenayah Syariah (II) sebelum diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dakwa Wan Ismail, melalui pindaan itu, hukuman hudud tidak akan dikenakan kepada masyarakat bukan Islam dan hudud kepada orang bukan Islam tidak termasuk dalam perkara yang dinaskan al-Quran dan hadis.

"Di sinilah bermula perbezaannya. Asalnya pada 1986 dalam muka surat lima manifesto dinyatakan iaitu menguatkuasakan undang-undang Islam di seluruh negeri dengan tidak meletakkan perbezaan atas sebab-sebab berlainan keturunan, bangsa, agama dan pangkat kecuali perkara berhubung dengan ibadat dan undang-undang kekeluargaan.

"Dalam muka surat 24 pula dinyatakan bahawa hak-hak orang bukan Islam sama sahaja di sisi undang-undang jenayah dan sivil dengan orang-orang Islam dan ini adalah hudud sebenar berlandaskan Islam.

"Pada 1986 PAS masih di atas dasar asal bahawa hudud mesti dikenakan kepada semua manusia yang melakukan kesalahan tetapi selePAS Nik Aziz jadi Menteri Besar masalah hudud telah bercelaru menjadi dalca," dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Machang, semalam.

Berliau berkata demikian sebagai menyahut cabaran Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semasa wacana Sinar Harian November lalu yang mahukan mana-mana pihak tampil ke depan dan mendedahkan sekiranya hudud yang ingin dilaksanakan PAS Kelantan tidak betul.

Beliau berkata, akibat penyelewengan itu, PAS menggubal Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 dengan memberi pilihan kepada bukan Islam sama ada mahu menerima hudud atau tidak.

Menurutnya, ia sekali gus bertentangan perjuangan asal PAS, iaitu menguatkuasakan undang-undang Islam seluruh negeri dengan tidak meletakkan perbezaan atas sebab-sebab berlainan bangsa, agama, pangkat kecuali dalam perkara yang berhubung ibadat dan undang-undang kekeluargaan.

“Manifesto kulit hijau pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, muka surat lima jelas membincangkan berkaitan hukum hudud tersebut dan pada muka surat 24 turut tercatat: "Orang bukan Islam sama sahaja di sisi undang-undang jenayah dan sivil dengan orang-orang Islam".

“Namun, pada PRU 1990, perjuangan PAS mula terpesong apabila bersekongkol dengan Semangat 46, apabila parti itu bekerjasama dengan DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan alasan akan menang besar dan ia benar-benar berlaku. Oleh itu, dalam sudut ini, PAS dan Umno tidak berbeza," katanya.

Wan Ismail yang pernah menjadi calon PAS di Parlimen Machang pada PRU 1986 berkata, hukum hudud yang diluluskan dalam mesyuarat Dun Kelantan pada 1993 adalah hudud PAS, bukannya hudud Islam.

Beliau percaya perkara tersebut turut didorong perasaan takut kepada pemimpin DAP, terutama Pengerusinya, Karpal Singh yang secara terang-terangan menentang hukum hudud.

Malah, katanya, Hadi pernah menegaskan bahawa masalah mengenakan hukum hudud kepada orang bukan Islam, tidak termasuk dalam perkara yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadis.

“Pada pandangan Hadi dalam kenyataan berkenaan, hukuman hudud yang dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja tidak akan berjaya bagi mengurangkan kes jenayah bahkan akan menimbulkan masalah baru," katanya.

Wan Ismail berkata, Hadi memberi contoh, seorang pencuri bukan Islam tidak akan dipotong tangan walaupun sah dia mencuri dan orang Islam pula akan dipotong jika sabit kesalahan.

"Orang mencuri itu sudah tentu tidak takut dosa, kalau takut dosa, dia tidak akan mencuri, orang macam ini, terlalu mudah akan mengisytiharkan dia bukan Islam bagi mengelakkan tangannya dipotong.

"Saya tiada kepentingan dalam politik dan pendedahan ini kerana tanggungjawab terhadap seluruh umat Islam," katanya.

Beliau berkata, penjelasan mengenai hukum hudud boleh dirujuk di dalam al-Quran melalui ayat 58 dan 105 Surah An-Nisa dan ayat 49 Surah Al-Maidah.
Wan Ismail mendakwa, beliau telah dipecat daripada PAS pada 1986 kerana menentang pakatan parti itu dengan S46.

Malah dakwanya, pada 1995 beliau telah menulis sebuah buku menjelaskan mengenai hudud dan diserahkan kepada Nik Abdul Aziz dan Hadi.

Namun, sehingga hari ini kedua-dua pemimpin itu hanya berdiam diri.

Katanya, kecelaruan berlaku dalam PAS kerana para pemimpinnya sekarang membelakangi perjuangan asal parti meskipun ramai yang tahu.

"Namun mereka membisu kerana takut dicemuh oleh golongan fanatik selain tidak mahu dikenakan tindakan disiplin," katanya.

Demi kepentingan politik, perjuangan PAS kini didakwa membelakangi perjuangan asal parti itu termasuk bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Katanya, kecelaruan PAS berlaku kerana pemimpin ulama PAS berjaya dipengaruhi golongan profesional bersifat sekular dengan menguasai pemikiran dan meyakinkan mereka akan menang besar dalam pilihan raya.
Utusan Malaysia/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment