Nik Aini Mohd, 51, berinteraksi dengan anaknya, Iman Adam Raman, 8, yang terlantar menderita akibat langgar lari di rumahnya di Kebor Besar, Terengganu.
Kerajaan negeri Terengganu bersetuju meluluskan bantuan sebanyak RM1,300 sebulan kepada Iman Adam Raman, 9, yang dilanggar motosikal pada Mei tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata selain bantuan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu juga meluluskan bantuan penjagaan kepada ibunya, Nik Aini Mohd, 51, dan anaknya itu masing-masing RM300 dan RM200 sebulan.
"Kita simpati atas apa yang berlaku kepada keluarga ini. Walaupun ayahnya Raman Abdullah, 58, adalah penjawat awam, tetapi keluarga ini besar dengan sembilan orang anak dan dua orang pula cacat," katanya ketika melawat kanak-kanak itu di rumahnya di Kampung Kebur Besar dekat Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir pada lawatan itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.
Iman Adam terbabit dalam kemalangan langgar lari dipercayai angkara mat rempit ketika melintas jalan untuk mendapatkan ayahnya di seberang jalan di depan Klinik Kubang Jela pada 2 Mei tahun lalu.
Mangsa tidak sedarkan diri selama tujuh bulan selepas kejadian dan terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tujuh kali di Hospital Sultanah Nur Zahirah, kini terlantar di rumah dengan tidak boleh bercakap dan tanpa sebarang deria rasa.
Ahmad berkata, pemberian bantuan itu melalui Tabung Darul Iman diharap dapat diuruskan dengan seberapa segera oleh pihak terbabit.
Beliau berkata, sehubungan itu baru-baru ini kerajaan negeri meluluskan bantuan kesihatan kepada pesakit seperti susu, lampin pakai buang, kaki atau tangan palsu kepada hospital untuk diagihkan kepada pesakit berjumlah RM2 juta.
"Kadangkala rakyat tidak tahu bahawa kerajaan persekutuan menyediakan tabung seperti ini kepada pesakit dan kerajaan Terengganu memberi nilai tambah sebanyak RM2 juta," katanya.
Sementara itu, Nik Aini melahirkan kesyukuran kerana mendapat perhatian kerajaan negeri dengan menghulurkan bantuan yang sangat diperlukan keluarganya.
"Saya sangat sedih di atas apa yang menimpa Iman. Mujurlah kerajaan prihatin terhadap penderitaan yang kami tanggung dengan menghulurkan bantuan," katanya.
No comments:
Post a Comment