Bergotong-royong mengangkat permaidani yang rosak akibat banjir di Masjid Kampung Tok Dor, Besut kelmarin.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Md Salleh Sarbini menasihatkan penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata mereka perlu mematuhi arahan supaya berpindah terutama penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mengingatkan mereka agar membuat persiapan awal dengan memindahkan barang berharga ke tempat yang lebih selamat.
Salleh turut mengingatkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai agar lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca serta kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda negeri itu.
"Penduduk perlu peka dan sentiasa berhati-hati kerana musim tengkujuh telah tiba dan kepada mereka yang tinggal di tempat berisiko berlaku banjir, diingatkan membuat persiapan awal agar dapat menggelakkan harta benda daripada rosak ditenggelami air," katanya semalam.
Katanya seramai 675 pegawai dan anggota bomba di seluruh negeri ini dikerahkan bersedia untuk menghadapi bencana banjir dan fenomena air pasang dan ombak besar yang melanda sekarang.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti pantai pada musim tengkujuh ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
No comments:
Post a Comment