Wednesday, January 11, 2012

'Kota Batik' Terengganu Beroperasi Mac Ini

Terengganu bakal memiliki sebuah 'Kota Batik' yang dibina di Kompleks Usahawan Terengganu di Kampung Banggol Tuan Muda Manir di Kuala Terengganu, dalam usaha memajukan lagi industri batik di negeri ini.

Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) A Razak Sulaiman berkata kompleks bernilai RM25 juta telah siap dibina dan dijangka beroperasi Mac ini.

Selain menawarkan peluang perniagaan kepada 48 usahawan, kompleks itu juga akan dilengkapi bahagian penyelidikan dan pembangunan serta bengkel kraf kreatif songket, katanya kepada Bernama, di Kuala Terengganu, semalam.

Selain itu katanya, kompleks itu juga menempatkan sebuah premis mencetak batik blok bagi tujuan demonstrasi, galeri batik dan ruang peragaan fesyen batik.

Kompleks itu diyakini mampu menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini sekali gus menjadi alternatif untuk penggemar batik selain mendapatkannya dari Pasar Payang.

A Razak berkata kompleks tiga tingkat itu juga menempatkan Pasar ICT di tingkat satu, bagi membuka peluang kepada usahawan teknologi maklumat.

No comments:

Post a Comment