Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini menyerahkan tajaan derma siswa kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).
Tajaan hasil kutipan zakat itu berjumlah RM224,000 dan akan diagihkan kepada 112 pelajar yang diletakkan dalam program berkenaan.
Ia diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Wan Sulaiman kepada rektor universiti itu, Tengku Yusoff Tengku Mahmud.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Harujan berkata, menjadi hasrat dan kepentingan kepada Maidam untuk membantu pelajar yang tergolong dalam kumpulan asnaf yang perlu dibantu.
"Ini bertepatan dengan program MDAB yang dibawakan oleh UiTM bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan tetapi mempunyai cita-cita untuk mengubah nasib diri dan keluarga," ujarnya.
Beliau menambah, tahun lalu, RM88.2 juta wang zakat telah dikutip dan kira-kira 70 peratus diagihkan kepada para pelajar di semua peringkat bagi membantu pembangunan modal insan.
"Sebagai pemegang amanah, Maidam bertanggungjawab memastikan semua wang zakat yang dibayar kepadanya disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para pelajar agar tidak lupa untuk menunaikan tuntutan ibadat seperti solat yang menjadi tiang kepada kehidupan beragama.
Katanya, sebagai umat Islam, tuntutan agama adalah sangat penting dan pegangan ini yang akan membantu mereka untuk mengejar kejayaan dalam pelbagai lapangan kehidupan dan menjadi manusia seimbang.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment