Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada perlawanan Liga Malaysia akan diadakan pada waktu siang atau malam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di Kuala Terengganu.
Penolong Setiausaha Agong FAM yang juga Ketua Unit Pertandingan Tempatan, Ahmad Fuad Daud berkata, masalah di stadium itu ialah pencahayaan lampu limpah tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
"Sudah tiga kali kita buat pemeriksaan lampu di stadium itu dan nampak ada perkembangan positif dari masa ke semasa,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.
Menurut Ahmad Fuad, untuk pertandingan Liga Malaysia, cahaya lampu limpah di sesebuah stadium itu mestilah melebihi 800 lux.
Beliau berkata, jawatankuasa pertandingan tempatan akan mengadakan mesyuarat sedikit masa lagi bagi membincangkan sama ada stadium itu boleh digunakan pada waktu malam atau tidak.
Ahmad Fuad berkata, pencahayaan lampu limpah di stadium itu pada keseluruhannya melebihi piawaian yang ditetapkan mengikut bacaan yang dibuat di situ malam semalam.
Mengenai stadium lain pula, Ahmad Fuad berkata, tiga stadium diluluskan untuk bermain pada waktu malam ialah Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Baharu, dan di Sabah serta Sarawak.
Manakala Stadium Hang Jebat dan Stadium Hang Tuah di Melaka, Stadium Batu Kawan Pulau Pinang dan Stadium MP Selayang di Selangor perlawanan akan diadakan hanya pada waktu siang, katanya.
No comments:
Post a Comment