Tuesday, January 17, 2012

MB Tanggung Kesan Serangan ADUN UMNO, Berdepan Tohmahan PAS


Oleh Hambali Abdul Latiff
Bahagian Akhir - (Sambungan daripada "Bantuan Pakaian & Peralatan Sekolah - Akui Ada Kelemahan, Bukan Penyelewengan, Ahad lalu)

Ternyata isu bekalan pakaian dan peralatan sekolah ini walaupun disebut secara meluas selepas keluarnya Laporan Ketua Audit Negara 2010 terhadap Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, hakikatnya bibit-bibit ‘serangan terhadap Ahmad Said’ dilakukan lebih awal.

Ironinya ia datang daripada penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri, sama ada melalui kenyataan akhbar, mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) atau juga pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada Ogos 2009.

Pengajaran penting ialah, akibat kemelut politik Terengganu, serangan terhadap Menteri Besar tidak hanya mendatangkan kesan pada ketika serangan dibuat tetapi tuduhan dan 'persoalan-persoalan' yang ditimbulkan untuk menunjukkan kelemahan Menteri Besar digunakan sebaik-baiknya untuk pembangkang menyerang kerajaan selepas itu.

Apabila kemelut berakhir, 'langit gelap tidak menjadi cerah' kerana kemusnahan dan kesan kemelut itu terpaksa ditanggung lagi oleh Menteri Besar untuk berdepan dengan pembangkang pula hasil perbuatan penyokong BN sendiri.

Pembangkang, khususnya ADUN PAS menggunakan ‘pertelingkahan di kalangan ADUN UMNO’ mengenai isu pakaian sekolah ini untuk menghentam kerajaan dua tahun selepas 'kemusnahan' yang cuba diakibatkan oleh beberapa ADUN UMNO sendiri!

Seikhlasnya, pada ketika itu, yang mempertahankan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam isu ini sama ada jawapan di akhbar atau juga pada sidang DUN ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dengan kedudukan atau suasana politik ketika itu yang bercelaru, Ahmad Razif perlu menjadi jurucakap kerajaan kerana bukan sahaja ADUN yang mewakili UMNO kebanyakannya masih belum dapat ‘menerima’ Ahmad Said, sebaliknya pegawai kerajaan pun langsung ‘mengunci mulut’.

Harapkan Pejabat Setiausaha Kerajaan menjelaskan perkara ini ketika itu, ‘jauh panggang dari api’.

Ahmad Razif perlu mempertahankan dasar ini bukan sahaja kerana ia suatu dasar yang baik tetapi juga menjamin Ahmad Said mempunyai sokongan dan ‘tidak bersaorangan’.

Lagipun apabila serangan mengenai isu ini dibuat, dua sasaran yang dituju secara jelas ialah Menteri Besar dan Setiausaha Sulit Kanannya ketika itu, Wan Ahamad Wan Muda (belum bergelar Dato’).

Pada 25 Ogos 2009 dalam jawapannya pada Sidang DUN, Ahmad Razif dengan jelas menyebut bahawa Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM7.995 juta bagi membiayai pakaian dan peralatan sekolah pelajar miskin di negeri itu bagi tahun berkenaan.

Katanya, bantuan itu diberikan kepada 53,300 pelajar sekolah rendah dan kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan ini kepada pelajar yang pendapatan keluarganya kurang daripada RM1,200 sebulan.

"Hanya dua pelajar dalam satu keluarga layak menerima bantuan ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) pada persidangan DUN pada hari berkenaan.

Ahmad Razif menjelaskan syarikat Hamie Enterprise diberikan hak sebagai pembekal pakaian serta peralatan tersebut dan pelantikan itu dikecualikan daripada proses tender terbuka. Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju memberikan keistimewaan tersebut kepada Hamie Enterprise kerana syarikat itu mampu menawarkan pakej yang rendah selain dapat menyediakan peralatan yang berkualiti.

"Malah, kita tidak menerima sebarang rungutan selepas kita membuat agihan awal di Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini," katanya.

Menurut beliau sebelum menawarkan kepada Hamie Enterprise, Kerajaan Negeri pernah menawarkan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) untuk menyediakan pakaian dan peralatan tersebut namun, mereka tidak mampu berbuat demikian.

Amat jelas dalam jawapan pada sidang DUN (saya ulagi, pada sidang DUN) , Ahmad Razif memberikan jawapan sebaik-baiknya agar isu ini tidak dipanjangnkan.

Namun, kini soal pakaian dan peralatan sekolah yang diaudit dua tahun selepas itu menjadi isu panas dan hasilnya ada saman dan laporan SPRM terhadap Ahmad Said.

Namun bagi Ahmad Said yang sering menjadi kontroversi, menyatakan bersedia untuk disiasat dan dan mengatakan, laporan itu sengaja ingin dibuat bagi menimbulkan isu memandangkan pemimpin PAS itu kini dalam keadaan tertekan.

Bawalah (ke SPRM), saya tidak kisah. Ingin saya tegaskan, apabila laporan audit menyatakan ada kelemahan, kita akui kelemahan itu. Tidak semestinya berlaku penyelewengan. Kalau semua dianggap ada penyelewengan, payahlah. Saya saman dia sebab fitnah dan dia pula nak lapor kepada SPRM, saya tiada masalah,” katanya pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Bagi Ahmad Said, apa nak ditakutkan atau akan menghadapi masalah untuk disiasat kerana rekodnya bersih selama tiga setengah tahun menerajui Kerajaan Negeri.

Lagipun soal bertemu muka dengan pegawai SPRM baginya dah lali kerana dia menjadi calon setelah disahkan bebas oleh SPRM dan dilantik menjadi Menteri Besar setelah dibersihkan oleh SPRM daripada fitnah yang dilakukan oleh pihak lain.

Mengenai kehadiran pegawai SPRM menemui pegawainya, bagi Menteri Besar Terengganu itu, ia adalah prosedur biasa dan sudah menjadi tanggungjawab pegawai SPRM sekiranya ada laopran dibuat kepada pihak mereka.

“Bila dah ada orang buat laporan kepada SPRM, maka mereka perlu membuat siasatan. Mereka (SPRM) jumpa pegawai saya dan ini adalah perkara biasa, kita tidak ada masalah malah kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

Bagi Ahmad Said, sudah biasa deal dengan SPRM. “Saya tidak kisah. Saya jadi MB bukan tiga bulan setengah, tapi tiga tahun setengah. Dia (Syed Azman) sengaja timbulkan isu sebab dia kini dalam keadaan tertekan. Sudah tiga kali dia tipu, inilah pembohong bersiri. Apabila saya jawab, dia tiada. Kita bercakap dalam dewan (Sidang Dewan Undangan Negeri) dan apabila dia bohong, kita tidak boleh saman dia sebab dia dilindungi dewan. Tetapi sebelum dia bawa ke dewan, dia bercakap dulu dalam kolum dia di sebuah akhbar pembangkang, macam-macam,” tegas MB.

Cumanya yang beliau sedih dan kecewa ialah setiap kali ingin menjawab persoa¬lan atau tohmahan yang dibuat oleh Dr Syed Azman, pemimpin PAS itu seolah-olah ingin mengelak.

Contohnya pada sidang DUN terbaru awal Disember lalu, Syed Azman yang kemudian bertemu Ahmad Said di lapangan terbang meminta maaf kerana tidak hadir pada sesi Menteri Besar menggulung.

Ini kerana beliau ‘melayani kehadiran kawan (tetamu)’ yang sudah dibuat temujanji.

Persoalannya, apakah temujanji yang dilayan oleh Syed Azman itu lebih besar daripada ‘amanah rakyat’ untuk menghadiri sidang DUN?

Kepada penjenguk dan rakyat Terengganu, nilailah isu ini dengan tenang dan terbuka.
Yang pasti hasrat kerajaan negeri begitu ikhlas membantu rakyat, ada pihak yang cuba menangguk di air keruh daripada sedikit kelemahan pentadbiran.

Kepada SPRM, siasatlah dengan teliti dan umumkan secepat mungkin agar ia tidak menjadi tohmahan berpanjangan.

Kepada kedua-dua individu utama dalam kes ini, Ahmad Said dan Syed Azman, bersedialah untuk ‘menjawab’.

Yang paling penting, bantuan pakaian dan peralatan sekolah itu kini mungkin sudah lusuh tetapi ibu bapa dan pelajar gembira dan bersyukur dengan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional negeri pimpinan Ahmad Said.

No comments:

Post a Comment