Pada ketika Sabah menyasar untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam ini, pengendali pasukan T-Team Yunus Aliff menagih kemenangan ketiga daripada anak didiknya.
Baginya kemenangan itu amat bermakna untuk pasukan dan pastinya tenaga Zairo Anuar Zalani dan Zacharia Simukonda (gambar kanan) ditagih.
Beliau berkata dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua pemain, beliau yakin pasukannya mampu meraih kemenangan tersebut selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah ketika menentang Sabah.
Pengurus pasukan Sabah, Shariman Abdullah berkata skuad badak itu akan bekerja lebih keras bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong dari Terengganu.
Sehubungan itu katanya, Sabah akan memperkemaskan jentera pertahanan bagi mengekang pemain T-Team.
"Pemain-pemain Sabah termasuk pemain import semuanya cukup cergas dan bersedia untuk beraksi esok," katanya semalam.
Sementara itu ketua jurulatih Sabah, Justin Ganai berkata kemenangan 2-1 ke atas Sarawak minggu lepas memberi semangat baru dan kelegaan kepada skuad tersebut hasil keserasian dan persefahaman antara pemain import dan pemain tempatan yang sudah mulai menunjukkan petanda baik.
Dua pemain import Sabah dari Australia iaitu Michael Baird dan Brendan Gan (gambar kiri) sudah mulai menemui rentak permainan mereka dan sandaran Justin ialah anak-anak buahnya akan beraksi hebat dan memberikan persembahan yang terbaik dalam pertemuan dengan T-Team nanti.
Baird pula berkata beliau mahu memberi persembahan terbaiknya esok untuk tidak menghampakan para penyokong Sabah.
Bagi Yunus pula, biarpun menduduki tangga teratas Liga Super setakat ini, namun ia belum cukup melegakan sekaligus meminta anak didiknya mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang pasukan Sabah mala mini.
"Dengan gandingan dan percaturan yang dibuat saya yakin kesemua pemain mampu meraih kemenangan kerana tiga mata yang bakal dipungut itu amat berharga," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Tidak banyak rombakan yang dilakukan dalam barisan kesebelasan pemain yang akan beraksi kerana semua pemain lama serta baru telah menunjukkan persefahaman dan keserasian yang baik, sekaligus beliau mengharapkan kesemua pemain dapat mengekalkannya bagi memantapkan lagi pasukan.
"Untuk perlawanan malam esok saya masih mengekalkan barisan kesebelasan yang sama hanya Rusdi Talib sahaja tidak dapat diturunkan berikutan masalah kesihatan," katanya.
Yunus berkata walaupun berjaya mencatat dua kemenangan sebelum ini namun beliau sentiasa mengingatkan anak buahnya agar tidak leka dengan kemenangan yang dicatatkan dan tidak memandang mudah setiap pasukan lawan.
Pasukan T-Team berjaya menduduki tangga teratas dalam Liga Super apabila berjaya mengumpul enam mata daripada dua perlawanan setelah berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dan Kedah juga 3-0.
No comments:
Post a Comment