Sunday, January 15, 2012

NGO Bantu Kerajaan Kekalkan Kestabilan - MB

Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu membantu mengekalkan kestabilan politik dan negara dengan mengemukakan pandangan positif serta bergerak seiring dengan agenda kerajaan.

Pada masa sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta lebih 165 NGO di Terengganu mengelak daripada terlibat dalam demonstrasi atau perhimpunan haram untuk menentang kerajaan.

"Ia penting bagi menentukan kestabilan dan masa depan negara. Kita harap mereka tidak digunakan untuk kepentingan politik tertentu bagi menjatuhkan kerajaan," katanya selepas merasmikan Konvensyen NGO's Negeri Terengganu 2012 di Kuala Terengganu, pagi semalam.

Konvensyen sehari yang dianjurkan oleh Biro Pengundi Luar dan NGO Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu dihadiri kira-kira 2,000 orang yang mewakili lebih 165 NGO di negeri ini.

Ahmad DSaid seterusnya berkata, peranan NGO penting kerana ia turut menentukan suasana negara yang stabil dan aman terutama dalam membantu menarik pelaburan asing.

"Kalau musnah (keamanan), pelabur tak akan datang ke tempat kita, demonstrasi akan merugikan rakyat khususnya orang Melayu," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi memenuhi keperluan NGO-NGO di Terengganu.

Jelasnya, peruntukan itu antara lain bagi membantu dari segi keperluan pentadbiran NGO-NGO berkenaan.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment