Keluarga Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Pantai Seberang Takir, Kuala Terengganu boleh mendapatkan barangan segar untuk keperluan harian melalui pasar tani yang bakal diadakan di penempatan itu kelak.
Pegawai Memerintah kem berkenaan, Leftenan Kolonel Nasharuddin Mohamad berkata, pihaknya bercadang untuk menyediakan kemudahan itu dalam kem tersebut pada setiap hari Jumaat bagi kemudahan keluarga anggota tentera.
“Tapak pasar tani itu bakal dibina di Dataran Berjuang di sini dan kita jangka ia akan siap sebelum bulan April ini dengan kerjasama Pernama (Perwira Niaga Malaysia).
“Bagaimanapun, buat masa ini, kita sedang usahakan dengan Pejabat Daerah untuk memasang tar di dataran tersebut sebelum pasar tani beroperasi,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin dan Masyarakat Setempat Bersama Warga ‘Tangkas Berjuang’ di Kem Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sri Pantai, Seberang Takir kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Nasharuddin memberitahu, pihaknya berhasrat menjadikan kem atau penempatan di situ sebagai contoh terbaik dalam menonjolkan semangat kerjasama bersama masyarakat setempat.
“Justeru, kita akan pastikan program ramah mesra seperti pemimpin bersama masyarakat setempat ini dijadikan program tahunan untuk mengukuhkan hubungan bersama,” katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment