Dengan adanya dua pemain import dalam pasukan Peteh mencabar pemain tempatan untuk menunjukkan aksi terbaik merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan itu.
Jurulatih Terengganu Mohd Zam Mat Aris berkata kedua-dua mereka pastinya akan menggiatkan pemain tempatan supaya menunjukkan prestasi dan tidak hanya duduk memanaskan bangku simpanan sepanjang Liga Super berlangsung.
"Mereka perlu bermain dengan baik supaya dapat diturunkan dalam kesebelasan utama yang setakat ini berpuas hati menunjukkan peningkatan prestasi satu perlawanan ke satu perlawanan. Ia perkembangan yang baik," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Mohd Zam berkata gabungan ketua pasukan Marzukif Yusof dengan bekas pemain Harimau A, Mohd Muslim di bahagian pertahanan cukup padu dan mantap setakat ini, diharap ia berterusan.
Setelah mengharungi tiga perlawanan, Terengganu memperolehi enam mata daripada dua kemenangan ketika menentang Felda United dan Sarawak dan tumpas sekali kepada Perak.
Sementara itu Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana memberi lesen kepada dua pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto (Brazil).
Setiausaha kelab, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata tindakan FAM itu membolehkan kedua-dua pemain import itu beraksi ketika Terengganu menentang Sarawak di Kuching malam tadi dan Francis Forkey tidak menghampakan apabila menyumbat gol kemenangan 1-0 dalam aksi sulungnya.
Pada Selasa, FAM mengeluarkan lesen kepada kedua-dua pemain import itu setelah lulus ujian kesihatan yang diwajibkan kepada pemain import oleh badan induk itu.
Katanya, penyokong dan peminat bola sepak Terengganu buat pertama kali dapat menyaksikan aksi kedua-dua pemain import itu apabila ia bertemu T-Team di sini Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment