Friday, January 13, 2012

Pemain Import - Penyokong Pertahan Ketegasan MB

Penyokong skuad Penyu gembira dengan ketegasan pimpinan negeri ini demi memastikan Terengganu tidak menjadi mangsa pentadbiran bola sepak negara yang tidak mesra.

Dalam masa yang sama, mereka bimbang jika keadaan tidak berubah, ia mungkin memaksa skuad negeri dan T-Team menarik diri daripada kemeriahan Liga Malaysia (Liga-M).

Sehubungan itu mereka berharap isu surat pekeliling melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berakhir dengan baik.

Presiden Kelab Penyokong Terengganu (Terengganu FC), Hazrul Hanafi menyifatkan tanpa penyertaan dalam Liga-M, bola sepak negara dan negeri ini akan suram.

Lebih buruk, jika ia benar-benar berlaku, ia bakal memberi kesan kepada pendapatan pemain Terengganu dan T-Team yang menjadikan bola sepak sebagai punca rezeki mereka.

Bagaimanapun jelas Hazrul, keputusan kerajaan negeri untuk menuntut ganti rugi daripada FAM adalah wajar kerana kesilapan itu berpunca daripada persatuan itu.

"Saya berharap biarlah tindakan untuk menarik diri daripada bertanding itu menjadi langkah terakhir dan merayu agar PBSNT dan FAM dapat mencari penyelesaian yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

"Ini kerana, satu kerugian apabila Terengganu tidak berada dalam saingan Liga Malaysia," jelasnya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

No comments:

Post a Comment